Selasa, 19 March 2024 | 10:42am
Pemain Manchester United, Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan di akhir masa tambahan ketika menewaskan Liverpool 4-3 pada suku akhir Piala FA di Old Trafford. - Foto AFP
Pemain Manchester United, Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan di akhir masa tambahan ketika menewaskan Liverpool 4-3 pada suku akhir Piala FA di Old Trafford. - Foto AFP

Bukan mudah ketika berpuasa - Diallo

MANCHESTER: Pemain Manchester United, Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan di akhir masa tambahan ketika menewaskan Liverpool 4-3 pada suku akhir Piala FA di Old Trafford, kemudian dibuang padang kerana membuka bajunya.

Diallo mengakui dia terlupa sudah mengutip kad kuning pertama, dan meraikan jaringan dengan membuka baju kerana terlalu teruja. Dia akan digantung satu perlawanan, dalam Liga Perdana Inggeris menentang Brentford pada 30 Mac.

Pemain muda itu turut mengakui, dia menjaringkan gol kemenangan dengan perut kosong kerana menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

"Bukan mudah apabila sedang berpuasa, tetapi anda perlu yakin. Saya berpuasa kerana Allah. Saya berpuasa dan mahu berjuang untuk pasukan jika saya berada di atas padang. Syukur kepada Allah untuk saat ini," kata Diallo.

Beberapa minggu lalu, pemain sayap United itu memadamkan akaun media sosialnya kerana mahu memberi tumpuan kepada ibadah puasa di bulan suci.

"Saya tidak mengaktifkan akaun media sosial untuk sebulan bagi memberi tumpuan kepada Ramadan, bulan suci untuk saya dan media sosial adalah tempat yang anda boleh lihat perkara tidak elok ketika berpuasa.

"Hentikan kebencian, tidak ada apa yang salah dengan apa yang saya lakukan," katanya. - AGENSI

Berita Harian X