Isnin, 18 March 2024 | 9:30pm
Pemain Manchester United, Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Liverpool semalam. - REUTERS
Pemain Manchester United, Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Liverpool semalam. - REUTERS

'Saya terlupa kad kuning pertama'

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Amad Diallo berdepan situasi 'tawa dalam tangisan' selepas meledak gol kemenangan ketika membantu pasukannya menewaskan Liverpool 4-3 pada aksi suku akhir Piala FA, semalam.

United bangkit dari ketinggalan dua kali menentang Liverpool dan Amad menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas tenang menyudahkan peluang untuk menewaskan Caoimhin Kelleher.

Namun pemain berusia 21 tahun itu membuka jersinya untuk meraikan jaringan pada minit akhir berkenaan dan kemudiannya terpaksa meninggalkan padang apabila menerima kad kuning kedua pada aksi terbabit.

Pemain dari Ivory Coast yang pernah beraksi bersama kelab Itali, Atalanta pada 2019-2021 itu mengakui dia terlupa bahawa dia sudah pun menerima kad kuning pertama sebelum menjaringkan gol kemenangan di Old Trafford.

"Saya terlupa akan kad kuning pertama itu. Saya sangat kecewa untuk itu (kad merah) tetapi apa yang penting adalah kami meraih kemenangan ke atas pasukan besar seperti Liverpool.

"Ini detik yang sangat besar dan indah buat saya. Semua mengucapkan tahniah kepada saya dan saya ingin berterima kasih kepada semua khususnya penyokong yang begitu hebat sepanjang perlawanan," kata Diallo.

Jaringan itu sudah tentu menjadi tumpuan selepas mengambil kira pemain itu berdepan musim yang mengecewakan dan gol itu diharapkan dapat membantu menghidupkan semula kariernya bersama United.

Malah, pengurus United, Erik ten Hag turut mengakui bahawa pemain itu berhak untuk mendapat lebih banyak minit perlawanan.

Pemain sayap itu turut mengharapkan dapat terus memikat hati Ten Hag dalam sesi latihan dengan kelab hanya akan beraksi pada 30 Mac selepas rehat antarabangsa. - Agensi

Berita Harian X