Isnin, 18 March 2024 | 5:07pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang (kanan) ketika menyaksikan pemain Sri Pahang menjalani latihan di Kuantan. Foto Sri Pahang FC
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang (kanan) ketika menyaksikan pemain Sri Pahang menjalani latihan di Kuantan. Foto Sri Pahang FC

Sri Pahang pertaruh enam import

KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mendaftar enam pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang menjelaskan setakat ini skuad Tok Gajah hanya menyenaraikan enam import bagi memperkasakan pasukan kendalian Fandi Ahmad.

"Namun, segalanya bergantung kepada keperluan sama ada penambahan seorang lagi pemain import berdasarkan perancangan dan taktikal.

"Setakat ini, enam import yang menyarung jersi Sri Pahang mampu memberi impak positif buat pasukan," katanya.

Enam import berkenaan adalah Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Kuvondik Ruziev (Uzbekistan), Mykola Ahapov (Ukraine), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Aleksandar Cvetkovic (Serbia).

Sherman yang sebelum ini bertindak selaku penyerang tunggal buat Tok Gajah akan bergandingan bersama Ahapov.

Mengulas kehadiran tiga import baharu iaitu Ahapov, Hidalgo dan Cvetkovic, Mohammad Suffian gembira dengan komitmen yang dipersembahkan mereka.

Katanya, kepantasan yang dimiliki Ahapov diharap membantu memperkasakan jentera serangan dan Cvetkovic mampu mengukuhkan kubu pasukan.

"Hidalgo yang pernah bersama Sri pahang sudah pasti memberi kekuatan di bahagian tengah," katanya.

Berita Harian X