Isnin, 18 March 2024 | 4:23pm
Harith Haiqal bersama skuad Harimau Malaya berlepas ke Oman untuk Kelayakan Piala Dunia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Harith Haiqal bersama skuad Harimau Malaya berlepas ke Oman untuk Kelayakan Piala Dunia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Nidzam mampu julang Selangor - Harith Haiqal

KUALA LUMPUR: Bintang muda Selangor FC (SFC), Harith Haiqal Adam Afkar optimis pelantikan Nidzam Jamil selaku pengendali baharu mampu membawa skuad Gergasi Merah pergi lebih jauh bagi musim 2024/25 yang akan membuka tirainya, Mei depan.

Pertahanan berusia 21 tahun itu mengakui pelantikan Nidzam yang juga bekas pemain Selangor itu menghadirkan kegembiraan dalam pasukan sekali gus menjadi motivasi untuk semua pemain memberikan persembahan terbaik bagi musim baharu nanti.

"Saya sudah bekerja bersama dengannya selama tiga musim sejak Nidzam menjadi pembantu jurulatih. Dia adalah jurulatih yang baik dan berwibawa jadi saya rasa SFC boleh pergi jauh.

"Dengan adanya corak permainan yang cuba diterapkan, Nidzam boleh bawa pasukan ini dengan baik. Cheng Hoe pun percayakan dia selepas bekerjasama hampir setahun setengah.

"Pemain juga selesa dengan Nidzam kerana walaupun tegas di dalam padang tetapi dia melayan pemain seperti anak-anak apabila berada di luar padang," kata Harith.

Terdahulu, SFC meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Nidzam selepas 'menaikkan pangkat' jurulatih sementara pasukan itu sebagai ketua jurulatih 'Gergasi Merah' bagi musim 2024/25.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon menerusi satu kenyataan menjelaskan pelantikan itu dibuat selepas mereka membuat penilaian secara terperinci dan kolektif selain prestasi ditunjukkan Nidzam dalam beberapa musim terdahulu.

Malah, Johan turut menyifatkan Nidzam sebagai individu yang tepat untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Cheng Hoe yang mengubah angin dengan menyertai kelab Liga 1 Thailand, Police Tero FC.

Berita Harian X