Ahad, 17 March 2024 | 5:44pm
Pemain Kebangsaan, Daniel Ting bertemu wartawan sebelum berlepas ke Oman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Pemain Kebangsaan, Daniel Ting bertemu wartawan sebelum berlepas ke Oman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

'Ramai pemain boleh isi tempat Davies, Eldstal'

SEPANG: Ketiadaan dua tonggak pertahanan, Matthew Davies dan Junior Eldstal untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang digugurkan akibat kecederaan sememangnya satu tamparan besar buat skuad Harimau Malaya.

Situasi itu diakui seorang lagi pertahanan negara, Daniel Ting namun dia percaya skuad kebangsaan memiliki senarai pemain yang cukup mantap bagi memastikan kehilangan dua pemain itu tidak begitu dirasai dan menjejaskan perancangan barisan kejurulatihan.

"Sudah tentu ini satu kehilangan besar kerana kebiasaannya, Matt adalah kapten dan kita mahukan kapten bersama dengan kita. Tetapi kita ada senarai pemain yang baik untuk menghadapi perlawanan menentang Oman nanti.

"Jadi ini peluang terbaik buat mana-mana pemain yang dipilih oleh barisan kejurulatihan untuk diturunkan pada perlawanan itu nanti tetapi sudah pasti kami merasai ketiadaan mereka," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Terdahulu, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengesahkan khidmat dua pemain JDT itu tidak dapat digunakan bagi aksi kali ini selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan latihan pada 14 Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, Ting optimis pasukan itu sudahpun menunjukkan perkembangan positif di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi khususnya apabila bakal beraksi di pentas antarabangsa ketika saingan domestik masih 'berehat'.

"Ini bukanlah satu situasi yang ideal apabila kami beraksi ketika pramusim jika hendak dibandingkan dengan Oman yang sedang beraksi di saingan domestik. Tetapi ini cabaran yang perlu ditangani sebagai satu pasukan.

"Ada pasukan yang sudah memulakan pra-musim dan ada yang tidak tetapi secara individunya, semua bergantung kepada diri sendiri untuk melakukan persiapan.

"Barisan kejurulatihan sentiasa memberikan program yang terbaik bagi memastikan kami sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal," katanya.

Berita Harian X