Ahad, 17 March 2024 | 1:08pm
Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat Matthew Davies (kanan) dan Junior Eldstal bagi mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Oman, Khamis ini.
Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat Matthew Davies (kanan) dan Junior Eldstal bagi mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Oman, Khamis ini.

Harimau Malaya terpaksa lupakan Davies, Eldstal berdepan Oman

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat dua pemain dari skuad Piala Asia 2023, Matthew Davies dan Junior Eldstal bagi mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Oman, Khamis ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengesahkan dua pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak dapat bersama pasukan kali ini selepas mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac dan perkembangan itu dimaklumkan oleh skuad Harimau Selatan.

"Matthew Davies dan Junior Eldstal tidak melapor diri selepas JDT menerusi satu surat rasmi memaklumkan bahawa kedua-dua mereka mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac 2024.

"Justeru JDT memohon pengecualian buat kedua-dua pemain berkenaan untuk melapor diri bersama skuad kebangsaan dan akan menjalani rawatan pemulihan selanjutnya bersama kelab. Laporan kecederaan dilampirkan dalam surat terbabit," kata Pan Gon.

Situasi ini menyaksikan hanya baki lapan pemain iaitu tujuh dari JDT dan Dion Cools dari Buriram United melapor diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, Jumaat lalu.

Ketiadaan dua tonggak pertahanan itu turut menyaksikan skuad kebangsaan kini memiliki 31 pemain dalam kem latihan namun tujuh daripadanya dilepaskan ke skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara sebagai persiapan ke Piala Asia B-23, bulan depan.

Susulan itu, hanya 24 pemain dibawa ke Muscat, Oman untuk mengharungi perlawanan ketiga Kumpulan D di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Khamis ini.

Selepas aksi di tempat lawan, skuad kebangsaan akan berdepan lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac ini.Ketika ini, skuad bimbingan Pan Gon mendahului Kumpulan D dengan enam mata daripada dua perlawanan hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei, November lalu.

Berita Harian X