Ahad, 17 March 2024 | 9:06am
Pemain Fulham, Rodrigo Muniz (tengah) menyumbat masuk gol ketiga ketika berdepan Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Fulham, Rodrigo Muniz (tengah) menyumbat masuk gol ketiga ketika berdepan Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Fulham rencat impian empat teratas Spurs

LONDON: Tottenham melepaskan peluang untuk melonjak ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris apabila mereka tumpas mengejut 3-0 di Fulham, manakala Luton meraih keputusan seri 1-1 yang genting dengan Nottingham Forest awal pagi tadi.

Anak buah Ange Postecoglou boleh merampas kedudukan Aston Villa di tangga keempat jika menang sebaliknya mereka gagal bertindak cemerlang untuk mencabar empat pasukan teratas.

Pasukan tangga kelima Tottenham dihukum dengan persembahan hambar ketika pemain yang cemerlang Rodrigo Muniz meledak dua gol selain satu gol lagi oleh Sasa Lukic buat Fulham.

Kemenangan 4-0 di Villa hujung minggu lalu dilihat sebagai pemangkin buat Tottenham untuk mengatasi pasukan kendalian Unai Emery bagi perebutan ke Liga Juara-Juara musim depan.

Sebaliknya, kelab London utara itu mengalami kekalahan pertama liga di Craven Cottage sejak 2008 dan gagal menyumbat gol buat kali pertama dalam 40 perlawanan.

Pemain Tottenham Hotspur kelihatan sugul selepas pemain Fulham, Rodrigo Muniz meledak gol ketiga pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Tottenham Hotspur kelihatan sugul selepas pemain Fulham, Rodrigo Muniz meledak gol ketiga pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Mereka ketinggalan dua mata di belakang Villa, yang boleh menjarakkan kedudukan kepada lima mata jika mereka menang di West Ham malam ini.

"Kami cuai dengan bola. Ia ternyata hari terburuk tetapi kami tidak menerimanya. Ia bukannya tahap biasa kami. Kami tidak mempunyai intensiti yang sama," kata Postecoglou.

"Kami dua mata di belakang Villa. Masih banyak lagi aksi perlu diharungi. Ia mengenai bagaimana kami beraksi." – AFP

Berita Harian X