Sabtu, 16 March 2024 | 3:43pm
Nidzam kini sah ketua jurulatih Selangor FC. - Foto ihsan Selangor FC
Nidzam kini sah ketua jurulatih Selangor FC. - Foto ihsan Selangor FC

Nidzam naik pangkat ketua jurulatih Selangor FC

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Nidzam Jamil selepas 'menaikkan pangkat' jurulatih sementara pasukan itu sebagai ketua jurulatih 'Gergasi Merah' bagi musim 2024/25.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon menerusi satu kenyataan menjelaskan pelantikan itu dibuat selepas mereka membuat penilaian secara terperinci dan kolektif selain prestasi ditunjukkan Nidzam dalam beberapa musim terdahulu.

Malah, Johan turut menyifatkan Nidzam sebagai individu yang tepat untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pengendali terbaharu, Tan Cheng Hoe yang mengubah angin dengan menyertai kelab Liga 1 Thailand, Police Tero FC.

"Kita turut melihat keupayaan yang ditunjukkan oleh Nidzam semasa beliau berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk musim-musim sebelum ini.

"Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali para pemain SFC.

"Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran SFC bagi musim 2024/2025," kata Johan.

Sebagai rekod, anak kelahiran Kajang itu adalah bekas pemain Selangor pada tahun 2000 hingga 2004 dengan pencapaian terbaiknya sebagai pemain adalah menjulang Piala FA 2001, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada tahun 2002.

Selain rekod cemerlangnya sebagai seorang pemain, Nidzam turut memiliki rekod yang baik sebagai Ketua Jurulatih sejak dari 2010 bersama SPA FC dan Felda United FC (FUFC).

Pada November 2021, Nidzam secara rasmi kembali bagi menabur bakti kepada skuad Merah Kuning selepas bersetuju untuk menjadi penolong ketua jurulatih pasukan untuk musim 2022 bagi membantu Michael Feichtenbeiner.

Pada tahun yang sama, beliau juga dilantik sebagai ketua jurulatih sementara untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai penolong ketua jurulatih untuk tahun seterusnya selepas pelantikan Tan Cheng Hoe pada ketika itu.

Berita Harian X