Sabtu, 16 March 2024 | 11:08am
Mauricio Pochettino mendedahkan ada sesetengah pemain Chelsea tidak tidur lena menjelang final Piala Liga menentang Liverpool bulan lalu. – Foto REUTERS
Mauricio Pochettino mendedahkan ada sesetengah pemain Chelsea tidak tidur lena menjelang final Piala Liga menentang Liverpool bulan lalu. – Foto REUTERS

Pochettino intai Wembley selepas tak tidur lena

LONDON: Mauricio Pochettino menggesa Chelsea menempah tiket kembali ke Wembley bagi Piala FA Inggeris selepas mendedahkan sesetengah pemainnya yang gemuruh tidak tidur lena sebelum kalah pada aksi final Piala Liga di tangan Liverpool.

Pasukan kendalian Pochettino yang tidak konsisten melayan kunjungan pendahulu Liga Kejuaraan, Leicester City pada suku akhir Piala FA malam esok.

Dengan aksi separuh akhir pertandingan itu diadakan di Wembley, kemenangan membolehkan Chelsea berpeluang untuk menebus kekalahan 1-0 kepada Liverpool dalam Piala Liga Februari lalu.

Skuad The Blues hampir keseluruhannya pemain remaja dan Pochettino mengakui kekurangan pengalaman mengharungi perlawanan besar menyebabkan sesetengah mereka tidak dapat tidur lena menjelang final di stadium nasional itu.

"Antara anda dan saya, sesetengah pemain tidak dapat tidur langsung sebelum final," kata bos Chelsea itu kepada wartawan malam tadi.

"Ia hanya menerusi pengalaman dan mengharungi situasi sebegini, anda akan menjadi lebih bagus. Kami belajar menerusi pengalaman. Dengan kekalahan anda belajar lebih banyak.

"Untuk kembali ke Wembley pasti berbeza. Satu lagi separuh akhir cukup bagus buat kami. Untuk berpeluang layak ke final dan layak ke Eropah menerusi Piala FA sesuatu yang besar."

Ia musim sulung yang sukar buat Pochettino dengan Chelsea terdampar di tangga ke-11 dalam Liga Perdana Inggeris.

Di sebalik berbelanja lebih £1 bilion (RM5.99 bilion) terhadap pemain baharu sejak pemilik bersama Todd Boehly membeli kelab itu pada 2022, penantian Chelsea untuk menjulang trofi domestik sudah mencecah enam tahun.

Menamatkan kemarau itu akan mengendurkan tekanan buat Pochettino, yang terpaksa berdepan gesaan supaya beliau dipecat oleh penyokong Chelsea yang kecewa. – AFP

Berita Harian X