Rabu, 13 March 2024 | 8:28am
Penjaga gol Arsenal, David Raya melayangkan badannya untuk menyelamatkan sepakan penalti pemain FC Porto, Galeno pada aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Raya muncul wira penalti Arsenal

LONDON: David Raya muncul wira ketika Arsenal menyingkirkan FC Porto 4-2 menerusi penentuan penalti awal pagi tadi untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara buat julung kali sejak 2010.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat selepas aksi kedua yang mendebarkan di Stadium Emirates tetapi Raya menyelamatkan dua sepakan penalti untuk memusnahkan impian juara dua kali itu.

Penjaga gol dari Sepanyol itu melayangkan badannya untuk menafikan tendangan Wendell dan mengulanginya sekali lagi berdepan Galeno, ketika tuan rumah menyempurnakan semua empat sepakan penalti mereka.

Ia kali pertama aksi Liga Juara-Juara ditentukan menerusi sepakan penalti sejak final 2016 antara Real Madrid dan Atletico Madrid.

"Anda terlalu gementar, anda berharap yang terbaik tetapi anda sedar ia (sepakan penalti) agak sama seperti loteri," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta kepada TNT Sports.

Pemain Arsenal, Leandro Trossard (tengah) menewaskan penjaga gol FC Porto, Diogo Costa pada aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Terlalu gembira. Sudah 14 tahun (tidak layak ke suku akhir), yang mana ia satu jangka masa lama bagi kelab seperti Arsenal dan ia membuktikan betapa ia sukar. Kami terpaksa bekerja keras untuk menjumpai detik magis pada akhirnya.

"Kami banyak bersabar, bekerja keras dan ramai yang melakukan keputusan yang bagus serta menunjukkan kesungguhan dalam detik sukar dan inilah yang anda mahukan," katanya.

Raya, yang beraksi secara pinjaman dari Brentford berkata, ia "satu detik hebat secara peribadi dan kolektif."

"Ini terlalu bermakna. Anda bermain bola sepak untuk mengharungi perkara sebegini dan saya bertuah kerana beraksi dengan Arsenal, untuk bermain dalam Liga Juara-Juara dan juga layak ke suku akhir."

Ketinggalan 1-0 selepas aksi pertama, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu – dengan 33 gol dalam lapan perlawanan terakhir liga – tidak berada pada tahap terbaik mereka berdepan pasukan penuh disiplin Porto.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta (tengah) meraikan kemenangan bersama staf kejurulatihan selepas menundukkan FC Porto menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto AFP

Leandro Trossard bagaimanapun menyamakan kedudukan buat Arsenal secara agregat sejurus sebelum rehat ketika kesabaran mereka membuahkan hasil.

Anak buah Sergio Conceicao berjaya mengecewakan tuan rumah bagi hampir keseluruhan babak pertama, mereka sendiri berjaya mencipta beberapa peluang pada malam yang menggugupkan buat penyokong Gunners.

Gol yang dicari-cari akhirnya hadir pada minit ke-41 susulan kerja keras kapten Martin Odegaard, yang melepasi kawalan seorang pemain pertahanan lawan sebelum mengumpan tepat kepada Trossard dengan hantaran leret ke dalam kotak penalti.

Trossard tenang menyepak masuk melepasi penjaga gol Diogo Costa ke penjuru atas gol bagi mengendurkan tekanan.

Arsenal berasakan mereka berjaya menggandakan kelebihan pada pertengahan babak kedua apabila Odegaard menyepak masuk ke pintu gol yang ternganga tetapi ia dibatalkan susulan kekasaran oleh Kai Havertz ke atas pemain pertahanan berusia 41 tahun Porto, Pepe. – AFP

Berita Harian X