Rabu, 13 March 2024 | 6:43am
Penyerang Al-Hilal, Malcom (kiri) menjaringkan gol kedua ketika menentang Al-Ittihad pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Raja Abdullah, Jeddah awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Al-Hilal, Malcom (kiri) menjaringkan gol kedua ketika menentang Al-Ittihad pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Raja Abdullah, Jeddah awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Al-Hilal mara separuh akhir Liga Juara-Juara Asia

JEDDAH, Arab Saudi: Al-Hilal memastikan tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara Asia selepas kemenangan 2-0 ke atas satu lagi pasukan Liga Pro Saudi, Al-Ittihad di Stadium Raja Abdullah awal pagi tadi melengkapkan agregat 4-0.

Yasser Al-Shahrani meledak pada minit ke-61 dan Malcom menambah gol kedua pada masa kecederaan selepas penjaga gol Al-Hilal, Mohammed Al-Owais mengecewakan Al-Ittihad yang cuba mengatasi defisit 2-0 pada aksi pertama.

Al-Hilal, pemenang pertandingan itu dengan rekod empat kali, akan berdepan Al-Ain pada separuh akhir bulan depan selepas kelab dari Emiriah Arab Bersatu itu menyingkirkan kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr kelmarin menerusi penentuan penalti di Riyadh.

Harapan Al-Ittihad terjejas lebih awal apabila bahagian tengah mereka - yang sudah kehilangan khidmat N'Golo Kante kerana digantung perlawanan - menyaksikan bekas pemain Liverpool, Fabinho meninggalkan padang kerana cedera pada minit ke-15.

Al-Hilal memecah kebuntuan selepas sejam apabila Salem Al-Dawsari melorongkan bola kepada Sergej Milinkovic-Savic dalam kotak penalti sebelum bekas pemain tengah Lazio itu mengumpan kepada Al-Shahrani untuk meledak masuk melepasi Abdullah Al-Muaiouf.

Reaksi penyerang Al-Ittihad, Abderrazak Hamdallah (kanan) selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Al-Hilal pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Raja Abdullah, Jeddah awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Reaksi penyerang Al-Ittihad, Abderrazak Hamdallah (kanan) selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Al-Hilal pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Raja Abdullah, Jeddah awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Suasana tegang tercetus pada minit akhir dengan penyerang Al-Ittihad, Abderrazzak Hamdallah dibuang padang susulan pertembungan dengan pemain pertahanan Ali Al-Bulayhi sebelum Aleksandar Mitrovic mengumpan kepada Malcom bagi gol kedua perlawanan pada masa kecederaan.

Dalam undian bahagian timur, Ulsan Hyundai layak ke separuh akhir bulan depan dengan mengalahkan Jeonbuk Motors 1-0 hasil jaringan voli Seol Young Woo pada babak pertama malam tadi untuk mara 2-1 secara agregat pada pertembungan sesama kelab Korea Selatan itu.

Pasukan kendalian Hong Myung Bo akan berdepan sama ada kelab Jepun, Yokohama F Marinos atau Shandong Taishan dari China pada pusingan berikutnya, dengan kedua-duanya akan bertemu pada suku akhir kedua malam ini. – REUTERS

Berita Harian X