Selasa, 12 March 2024 | 4:56pm
Arif Aiman tidak tersenarai dalam skuad B-23 ke Piala Asia.
Arif Aiman tidak tersenarai dalam skuad B-23 ke Piala Asia.

Arif Aiman tiada dalam senarai ke Qatar

KUALA LUMPUR: Bintang muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi tidak akan bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ke Piala Asia B-23 di Qatar, bulan depan.

Berdasarkan senarai pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini, nama pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tiada dalam senarai terbabit.

Menerusi pengumuman itu, ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres Garrido memanggil 17 pemain termasuk Luqman Hakim Shamsudin dan Annil Vigneswaran bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya B-23 bermula Ahad ini.

Ia sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang akan berlangsung dari 15 April hingga 3 Mei depan.

Barisan 17 pemain itu akan disertai 11 pemain lain yang ketika ini sedang menjalani kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon sejak 8 Mac lalu.

Senarai 11 pemain B-23 yang sedang mengikuti latihan bersama pasukan senior termasuk Mukhairi Ajmal Mahadi, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, Harith Haiqal Adam Afkar, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran, Sikh Izhan Sikh Azman, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim Rosli dan T Saravanan.

"Mana-mana pemain itu yang tidak berada dalam skuad akhir untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman akan dilepaskan untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan," kata FAM.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada pihak tertentu supaya Arif Aiman dibawa ke Piala Asia B-23 untuk membantu Harimau Malaya B-23 melangkah jauh dalam kejohanan itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menjelaskan semua pihak perlu menunggu senarai pemain yang akan dipanggil Garrido sama ada Arif Aiman tersenarai atau tidak ke Piala Asia B-23.

Arif Aiman sudah berstatus pemain senior Harimau Malaya selepas dia kerap memikul tugasan bersama skuad itu termasuk ketika Piala Asia di Qatar, Januari lalu.

Berita Harian X