Selasa, 12 March 2024 | 8:41am
Al-Nassr, Ronaldo tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia
Al-Nassr, Ronaldo tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia

Al-Nassr, Ronaldo tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia

RIYADH: Kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara Asia selepas kelab Liga Pro Saudi itu tumpas 3-1 menerusi penentuan penalti kepada Al-Ain dalam satu perlawanan menarik awal pagi tadi.

Al-Nassr berjaya mengatasi defisit 1-0 daripada aksi pertama sebelum menang 4-3 namun dengan perlawanan itu berakhir 4-4 secara agregat, pemain berdepan penentuan sepakan penalti yang mana Al-Ain berjaya memenanginya.

Bintang import Al-Nassr, Miroslav Brozovic, Alex Telles dan Otavio semuanya gagal menyumbat gol menerusi sepakan penalti sekali gus membenarkan kelab dari Emiriah Arab Bersatu itu layak ke separuh akhir, yang mana mereka akan berdepan sama ada Al-Hilal atau Al-Ittihad – kedua-duanya dari Arab Saudi – bulan depan.

Penjaga gol Al-Ain, Khalid Eisa menebus persembahan buruknya apabila dia menyelamatkan penalti pembukaan Brozovic dan dengan Soufiane Rahimi, Kaku dan Sultan Al Shamsi menyempurnakan penalti mereka, kegagalan Otavio bermakna Al-Nassr tersingkir.

Penentuan penalti itu menamatkan pertembungan menarik dan mendebarkan di Al-Awwal Park yang menyaksikan tujuh gol dan satu kad merah dengan Al-Ain mengukuhkan kelebihan aksi pertama dalam 45 minit pertama.

Pemain Al-Nassr kecewa selepas tumpas penentuan sepakan penalti di tangan Al-Ain pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Al-Awwal Park, Riyadh awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Al-Nassr kecewa selepas tumpas penentuan sepakan penalti di tangan Al-Ain pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Al-Awwal Park, Riyadh awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Reaksi Cristiano Ronaldo (kanan) selepas gagal menyempurnakan peluang ketika Al-Nassr bertemu Al-Ain pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Al-Awwal Park, Riyadh awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Reaksi Cristiano Ronaldo (kanan) selepas gagal menyempurnakan peluang ketika Al-Nassr bertemu Al-Ain pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia di Al-Awwal Park, Riyadh awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Rahimi, penjaring gol kemenangan Al-Ain pada suku akhir pertama, membantu pelawat menguasai dengan gol pada minit ke-28 dan ke-45 namun jaringan Abdulrahman Ghareeb pada minit kelima masa kecederaan babak pertama menghidupkan peluang Al-Nassr.

Rembatan leret Otavio disepak masuk ke pintu gol sendiri oleh Eisa enam minit selepas rehat dan Telles menyamakan kedudukan secara agregat 18 minit sebelum tamat dengan sepakan percuma leret yang melepasi deretan benteng lawan sebelum menewaskan Eisa.

Pemain Al-Nassr, Ayman Yahya dibuang padang kerana terjahan berbahaya terhadap Bandar Al-Ahbabi lapan minit pada masa tambahan dan seminit kemudian Al-Shamsi berasakan dia menjaringkan gol kemenangan apabila dia menggunakan kesempatan susulan kesilapan Raghid Najjar untuk merembat masuk.

Namun Ronaldo meledak gol menerusi sepakan penalti dengan berbaki dua minit selepas penyerang Portugal itu dijatuhkan oleh Saeed Jumaa dalam kotak penalti sekali gus memaksa penentuan penalti.

Ronaldo satu-satunya daripada empat pengambil sepakan penalti Al-Nassr yang berjaya menyempurnakan sepakannya ketika Al-Ain layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2016. – REUTERS

Berita Harian X