Isnin, 11 March 2024 | 2:35pm
Pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero. - FOTO/Sri Pahang FC
Pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero. - FOTO/Sri Pahang FC

Sri Pahang FC semakin mantap

KUANTAN: Pemain Sri Pahang FC (SPFC), Sergio Aguero gembira dengan komitmen yang diberikan rakan sepasukan terutama pemain baharu sepanjang sesi latihan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain naturalisasi itu berkata semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan pantas dalam usaha membentuk skuad Tok Gajah yang mantap pada musim baharu itu.

"Semua orang (pemain) gembira berada di Pahang termasuk pemain baharu. Ketika ini kami sedang berlatih dengan kerja keras dan ia normal sebagai persediaan awal pasukan.

"Saya lihat kualiti pasukan juga meningkat kerana kita perlukan pasukan yang terbaik untuk berada sekurang-kurangnya berada di kedudukan ketiga Liga Super.

"Pada masa sama, kami mengharapkan untuk bermain pada tahap terbaik seperti yang dipersembahkan musim lalu," kata pemain kelahiran Argentina itu.

Pada masa sama, Aguero mengakui sokongan padu daripada peminat setia skuad Tok Gajah begitu ditagih bagi memberikan semangat kepada semua pemain.

"Kehadiran penyokong amat penting kerana mereka memberikan sokongan musim ini dan diharapkan ia diteruskan dengan lebih hebat musim baharu ini," katanya.

Baru-baru ini, SPFC menerusi satu kenyataan mengumumkan Aguero kekal bersama skuad itu bagi tempoh dua musim akan datang.

Menerusi hantaran di Facebook, pemain tengah itu menandatangani lanjutan kontrak selama dua musim untuk terus bersama pasukan itu.

"Komitmen, dedikasi dan kepimpinan Aguero diyakini akan terus menjadi aset berharga buat kelab. Tahniah Aguero. Terus sukses bersama Sri Pahang FC," menerusi hantaran itu.

Berita Harian X