Isnin, 11 March 2024 | 7:31am
Pemain Manchester City, John Stones (tengah) membuka jaringan di awal babak pertama aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Anfield. - Foto AFP
Pemain Manchester City, John Stones (tengah) membuka jaringan di awal babak pertama aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Anfield. - Foto AFP
Pemain Liverpool, Darwin Nunez dijatuhkan penjaga gol Manchester City, Ederson ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP
Pemain Liverpool, Darwin Nunez dijatuhkan penjaga gol Manchester City, Ederson ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP
Pemain Liverpool, Alexis Mac Allister meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Anfield. - Foto AFP
Pemain Liverpool, Alexis Mac Allister meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Anfield. - Foto AFP

Liverpool-Man City seri, Arsenal kekal di puncak liga

LIVERPOOL: Pep Guardiola berkata Manchester City terselamat daripada 'tsunami' babak kedua Liverpool untuk seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield.

Keputusan itu meletakkan tiga pasukan teratas hanya berbeza satu mata, dengan Arsenal mengatasi Liverpool menerusi perbezaan jaringan di puncak liga dan City di tangga ketiga - ketinggalan satu mata.

Guardiola masih memburu kemenangan dalam keriuhan penyokong di Anfield sejak tahun 2003, dengan kali terakhir menang pada tahun 2021 tanpa penonton.

Bagaimanapun pelawat boleh menarik nafas lega dapat membawa pulang satu mata selepas penalti Alexis Mac Allister mengimbangi jaringan John Stones di babak pertama.

Pertembungan Liga Perdana Inggeris terakhir antara Jurgen Klopp dan Guardiola tidak mengecewakan apabila Liverpool bangkit di babak kedua walaupun skuadnya dilanda kecederaan.

Anak buah Klopp terlepas beberapa peluang keemasan untuk memastikan tiga mata dan kembali ke puncak liga, termasuk dinafikan penalti kali kedua dalam masa kecederaan.

"Saya rasa ia adalah perlawanan yang menggambarkan kedua-dua kelab ini sejak beberapa tahun lalu. Lambat laun di dalam stadium ini ia seperti tsunami!" kata Guardiola.

Keputusan seri di Anfield mengekalkan kedudukan Arsenal di puncak liga selepas kemenangan kelapan berturut-turut, tetapi mereka perlu bertandang ke Stadium Etihad bertemu Citu pada 31 Mac.

Klopp percaya pasukannya akan lebih bersemangat untuk meraih gelaran liga pada musim terakhirnya di Anfield berdasarkan persembahan di babak kedua menentang City.

"Hari ini saya melihat 53 minit terbaik menentang Manchester City. Cara kami bermain sangat luar biasa. Terdapat beberapa saat terbaik dalam karier kejurulatihan saya apabila kami dapat melakukannya terhadap mereka.

"Satu-satunya perkara yang saya harapkan ketika ini ialah kami berada dalam saingan. Berdasarkan persembahan hari ini, saya lihat pasukan ini di landasan yang betul - sekarang kita lihat apa yang kami mampu lakukan," kata Klopp.

Mohamed Salah bermula di bangku simpanan Liverpool bersama Andy Robertson, manakala Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Ibrahima Konate dan Diogo Jota masih dalam senarai kecederaan.

Pertembungan antara dua kelab terbaik dunia itu menyaksikan kedua-dua gol terhasil akibat kesilapan benteng pertahanan.

Liverpool dilihat tidak bersedia untuk sepakan sudut Kevin De Bruyne pada minit ke-23 dan Stones mudah menewaskan Caoimhin Kelleher untuk gol pembukaan.

Di awal babak kedua, Darwin Nunez memintas hantaran ke belakang Nathan Ake sebelum dijatuhkan oleh penjaga gol City, Ederson.

Mac Allister tenang menewaskan Ederson walaupun terpaksa menunggu lama untuk penjaga gol itu menerima rawatan, yang kemudian digantikan Stefan Ortega. - AFP

Berita Harian X