Ahad, 10 March 2024 | 6:41pm
Tonggak baharu Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) yakin mampu membentuk persefahaman bersama skuad Penyu. Foto NSTP/Ghazali Kori
Tonggak baharu Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) yakin mampu membentuk persefahaman bersama skuad Penyu. Foto NSTP/Ghazali Kori

Safawi tambah motivasi Akhyar

KUALA TERENGGANU: Bintang baharu Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yakin dapat membentuk persefahaman yang mantap dalam pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Lebih meningkatkan lagi keyakinan pemain berusia 25 tahun itu apabila dia akan bergandingan dengan rakan sepasukannya ketika menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid bersama skuad Penyu.

"Saya yakin mampu membentuk keserasian bersama rakan sepasukan dalam mengharungi saingan Liga M pada musim ini biarpun saya pemain baharu dalam skuad TFC.

"Kehadiran rakan sepasukan ketika bersama JDT, Safawi juga menambah lagi motivasi dan keyakinan saya untuk membantu TFC mara lebih jauh lagi pada musim ini.

"Lagipun pasukan TFC sudah lengkap sepenuhnya dengan dibarisi pemain berkualiti sekali gus mampu menjadi pencabar dalam saingan liga nanti," kata Akhyar.

Terdahulu kem TFC antara pasukan terawal memulakan latihan sejak 15 Februari lalu di bawah kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner menjelang sepak mula Liga Super pada 10 Mei depan.

Selain itu, Akhyar menjelaskan penghijrahannya ke TFC bertujuan untuk menambahkan lagi minit permainan dan meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik.

"Ia juga sebagai persediaan untuk mengintai peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan," katanya.

Berita Harian X