Ahad, 10 March 2024 | 6:24pm
Selangor sahkan Polking (kanan) menghantar resumenya untuk melatih Selangor.
Selangor sahkan Polking (kanan) menghantar resumenya untuk melatih Selangor.

Polking bukan pilihan Selangor

KUALA LUMPUR: Selangor FC dijangka mengumumkan ketua jurulatih baharu dalam seminggu lagi bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang telah berhijrah ke kelab Liga Thailand, Police Tero.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihaknya kini dalam penilaian terakhir setelah menyenarai pendek empat calon, terdiri daripada tiga calon luar negara dan seorang jurulatih tempatan.

Beliau berkata semua yang telah ditemuduga untuk menerajui skuad Gergasi Merah itu sedar bahawa mereka harus bekerja dengan bajet dan pilihan pemain sedia ada untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) 2024-25 yang membuka tirai pada Mei ini, serta saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

"Itu merupakan cabaran untuk jurulatih baharu, tetapi ketika temu duga semua calon faham dengan situasi bahawa skuad kita hampir penuh dan dah berbelanja, dari segi bajet. Mereka perlu kerja dengan apa (bajet, pemain) yang ada, sekurang-kurangnya sehingga jendela pemindahan kedua," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Selangor FC dan AEON Big di sini hari ini.

Johan turut menghentikan spekulasi berkaitan bekas jurulatih kebangsaan Thailand, Alexandre Polking.

"Beliau seorang jurulatih yang baik, tapi bukan seorang daripada calon kita. Kita ada mempertimbangkan beliau, terima resumenya tapi tidak disenarai pendek," katanya sambil memaklumkan tiga calon luar negara yang disenarai pendek tidak pernah membimbing pasukan Asia Tenggara tapi di peringkat Asia.

Skuad Gergasi Merah pada 28 Februari lalu mengumumkan bahawa Cheng Hoe yang juga bekas jurulatih kebangsaan telah menamatkan kontraknya serta-merta manakala pembantunya, Nidzam Jamil dilantik selaku ketua jurulatih sementara (interim).

Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe telah membantu Selangor menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super 2023 sekali gus memastikan Selangor FC layak secara automatik ke ACL2 musim ini.

Mengulas mengenai persiapan pramusim di Bangkok, Thailand pada bulan lepas, Johan berkata kem latihan itu lebih kepada membentuk keserasian pasukan dengan kehadiran beberapa pemain baharu seperti Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Azim Al Amin.

"Ia merupakan satu-satunya masa semua pemain ada bersama, kerana kini lapan pemain berada di kem latihan pusat skuad kebangsaan manakala pemain bawah-23 kebangsaan (B-23) juga akan memulakan kem latihan selepas ini.

"Kita mungkin akan bermain aksi pemanas badan dengan pasukan tempatan kerana liga di negara-negara jiran masih berlangsung," katanya.

Sementara itu, Nidzam yang juga seorang daripada jurulatih dikaitkan sebagai pengganti Cheng Hoe berkata beliau sentiasa akan memberi sepenuh bakti, tenaga dan fokus buat Selangor, tidak kira apa jawatan yang dijawatnya.

"Saya masih ketua jurulatih interim, walaupun saya menjadi penolong ketua jurulatih, jurulatih kecergasan atau pegawai biasa, saya akan sentiasa hormati keputusan pengurusan untuk terus memberikan khidmat kepada Selangor," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X