Ahad, 10 March 2024 | 5:55pm
Pemain tengah, Manuel Ott kembali perkuat bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) musim ini. Foto TFC
Pemain tengah, Manuel Ott kembali perkuat bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) musim ini. Foto TFC

Ott kembali ke Terengganu

KUALA TERENGGANU: Spekulasi 'kehilangan' bekas perancang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim lalu, Manuel Ott dalam kem latihan skuad itu akhirnya terjawab.

Bekas pemain skuad kebangsaan Filipina itu sah menyarung jersi bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, bekas arkitek Kedah itu sudah menandatangani kontrak selama semusim sehingga Mei 2025.

Jelasnya, pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina itu yang juga bekas perancang TFC dua musim lalu akan mengisi kuota pemain import ASEAN dan bakal memakai jersi bernombor lapan.

"Ott sah milik TFC pada musim ini dengan kontrak selama setahun, pemain berusia 31 tahun itu akan mengisi kuota import Asean pada musim ini.

"Jika tiada masalah, pemain itu dijangka menjalani latihan bersama rakan sepasukannya bermula, hari ini di bawah kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

"Kita harapkan kehadiran pemain itu mampu memperkasakan lagi jentera tengah pasukan, dia bakal bergandingan dengan pemain kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov selain pemain tempatan.

"Lagipun pemain yang memulakan kariernya dalam Liga M dengan menyarung jersi Melaka United pada musim 2021 itu adalah pilihan Tommy (Steinbruckner) yang tertarik dengan kualiti yang ada pemain itu," kata Mohd Syahrizan menerusi kenyataan media, hari ini.

Setakat ini Terengganu sudah mempunyai enam pemain import termasuk Ott dan Tukhtasinov selain penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut, Ismaheel Akinade (Nigeria), Argzim Redzovic (Montenegro) dan Matthew Steenvoorden (Belanda).

Sebelum ini TFC pernah menegaskan tidak berminat untuk mendapatkan khidmat Ott memandangkan pemain itu masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Sang Kenari.

Berita Harian X