Ahad, 10 March 2024 | 2:54pm
Safawi Rasid (kiri) dan Faisal Halim menjalani latihan menjelang aksi menentang Oman.
Safawi Rasid (kiri) dan Faisal Halim menjalani latihan menjelang aksi menentang Oman.

Harimau Malaya idam bawa pulang 'buah tangan' dari Muscat

KUALA LUMPUR: Meraih sekurang-kurangnya satu mata menjadi harapan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon apabila Harimau Malaya bertandang ke Muscat, Oman, 22 Mac ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan Harimau Malaya perlu mendapatkan mata penting untuk membuka peluang lebih cerah ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sedar bukan mudah untuk berdepan Oman yang berada di ranking 80 dunia, Pan Gon bagaimanapun berkata pasukannya akan berusaha untuk membawa pulang mata dari gelanggang lawan.

"Kami perlu dapatkan mata, sangat sukar pasukan ranking 132 (Harimau Malaya) menentang ranking 80, sangat sukar. Perlawanan di tempat lawan dan perbezaan waktu, kami tidak pergi awal untuk menyesuaikan diri.

"Kami hanya pergi ke sana beberapa hari untuk persiapan. Jika mahu pergi ke pusingan seterusnya, saya fikir kami harus dapatkan sekurang-kurangnya satu mata dan harap kami dapat melakukannya," katanya.

Selepas menentang Oman di Muscat, skuad Harimau Malaya kemudian akan melayan kunjungan pasukan kendalian Jaroslav Silhavy itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil empat hari kemudian.

Harimau Malaya memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi awal sebelum ini, manakala Oman yang menundukkan Taiwan sebelum tewas kepada Kyrgyzstan berada di tangga kedua dengan tiga mata.

Selain itu, Pan Gon turut menjelaskan tindakannya memanggil 33 pemain bagi kem latihan pusat dengan mengekalkan seramai 21 daripada 26 pemain yang berada dalam skuad Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.

Pengendali berusia 54 itu turut memanggil beberapa tonggak skuad bawah 23 (B-23) tahun yang bakal menghadapi Piala Asia B-23, bulan depan.

"Berdasarkan pendekatan taktikal dan penilaian teknikal, jadi kami buat keputusan untuk senarai (33) pemain ini terutama pemain muda.

"Kami mahu melihat muka baharu dan kami juga mahu membentuk satu persaingan di sini. Selepas 15 Mac, kami perlu kurangkan dari 33 kepada 25 pemain.

"Kita akan lihat persaingan di samping kami cuba bantu pemain B-23 sebelum mereka memulakan kem latihan pusat," katanya.

Berita Harian X