Ahad, 10 March 2024 | 12:27pm
Puncak Liga Perdana Inggeris menjadi buruan dalam pertembungan antara Liverpool dan Manchester City di Anfield malam ini. - Foto AGENSI
Puncak Liga Perdana Inggeris menjadi buruan dalam pertembungan antara Liverpool dan Manchester City di Anfield malam ini. - Foto AGENSI

Fakta menarik pertemuan Liverpool-Man City

LIVERPOOL: Pertembungan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester City di Anfield malam ini mampu memberi bayangan kepada kedudukan sebenar di akhir musim nanti.

Arsenal yang menang 2-1 ke atas Brentford semalam kini mendahului liga dengan kelebihan satu mata di depan Liverpool, dan dua mengatasi City di tangga ketiga.

Bagaimanapun kemenangan di Anfield akan melonjak Liverpool atau City ke puncak liga dengan hanya 10 perlawanan berbaki.

Rekod 20 pertemuan lalu antara Liverpool dan City di Anfield berpihak kepada tuan rumah, dengan tewas hanya sekali dan menang 13 kali.

Bagaimanapun dalam lapan pertemuan terakhir menentang City, The Reds hanya menang sekali, 1-0 pada peringkat ini tahun lalu.

Hanya dua daripada 30 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris di Anfield berpihak kepada pasukan lawan.

20 kemenangan liga Liverpool musim ini menyamai jumlah kemenangan mereka sepanjang musim lalu.

Mereka menang lapan daripada sembilan aksi terakhir liga, hanya tewas 3-1 di Arsenal pada 4 Februari.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mengutip 22 mata walaupun ketinggalan dalam permainan musim ini, satu melebihi Manchester City.

Liverpool menjaringkan 10 gol selepas minit ke-90 musim ini dengan pemain gantian memberi impak besar kepada pasukan - menjaringkan 11 gol dan membantu 11 yang lain dalam aksi liga.

Penyerang Liverpool, Darwin Nunez mengumpul lapan gol dan tiga umpanan gol dalam 10 penampilan terakhir untuk semua pertandingan.

Mohamed Salah pula mempunyai 11 gol dan tujuh bantuan gol dalam 19 penampilan terakhirnya menentang Manchester City.

Luis Diaz menemui sasaran dalam tiga perlawanan liga terakhir Liverpool di laman sendiri dan belum pernah tewas dalam kesemua 29 perlawanan Liga Perdana Inggerisnya di Anfield.

Manchester City pula dalam misi memburu kemenangan ke-10 berturut-turut di laman lawan dalam semua pertandingan buat kali ketiga di bawah kendalian Pep Guardiola.

Mereka masih belum tewas dalam 12 aksi liga, menang 10 kali dan seri dua kali.

City juga sedang berusaha mengekalkan rekod bersih berturut-turut di tempat lawan dalam aksi liga buat pertama kali sejak deretan lima perlawanan pada tahun 2022.

Pembabitan Phil Foden dalam 18 gol liga musim ini adalah pencapaian terbaiknya dalam semusim. 18 gol Foden dalam semua pertandingan setakat ini juga adalah yang terbaik sepanjang kariernya untuk semusim.

Erling Haaland pula sudah mengharungi tiga perlawanan liga di tempat lawan tanpa sebarang gol.

Rodri masih belum tewas dalam 60 penampilannya untuk Manchester City, selepas kali terakhir tewas 1-0 di tangan Tottenham pada Februari 2023. - AGENSI

Berita Harian X