Sabtu, 9 March 2024 | 6:32pm
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika merasmikan padang baharu di Stadium Nasional, Oktober lalu.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika merasmikan padang baharu di Stadium Nasional, Oktober lalu.

PSM komited pastikan padang Stadium Nasional bersedia - Hannah

KAJANG: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), akan memastikan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil bersedia untuk aksi skuad Harimau Malaya menentang Oman pada 26 Mac ini.

Mengulas mengenai kekecewaan ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon mengenai tahap padang, Hannah berkata PSM sedang berusaha untuk memastikan kualiti padang dan rumput baik, menjelang aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

"Stadium Nasional komited untuk skuad Harimau Malaya. Semua usaha yang dilakukan dalam beberapa minggu ini, semuanya untuk skuad Harimau Malaya (supaya dapat beraksi dengan baik)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan pelancaran video Kod Sukan Selamat di Uniten di sini, hari ini.

Terdahulu Pan Gon melahirkan rasa kecewanya dengan keadaan padang Stadium Nasional yang bakal digunakan untuk aksi keempat pusingan kelayakan itu, selepas lawatan pada Khamis lepas, manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata keadaan padang didapati berada pada tahap baik untuk menganjurkan perlawanan tersebut.

Sebelum ini, timbul persoalan mengenai keadaan padang di stadium keramat skuad Harimau Malaya itu, selepas beberapa konsert diadakan di venue berkenaan.

Skuad Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM semalam, bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil pada 26 Mac.

Sementara itu, Hannah berkata pelancaran video Kod Sukan Selamat, yang melibatkan ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan amalan sukan secara selamat.

Beliau berkata KBS akan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk menayangkan video itu, yang menerangkan Kod Sukan Selamat dan cara untuk membuat laporan, di tempat awam.

"Sejak melancarkan Kod Sukan Selamat pada tahun lepas, kita mendapat komitmen daripada lebih 1,000 pihak terdiri daripada persatuan sukan, atlet dan beberapa kementerian. Kesedaran ini penting kerana tanggungjawab wujudkan persekitaran selamat dipikul bersama oleh semua pihak, termasuk ibu bapa dan sekolah," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X