Jumaat, 8 March 2024 | 8:00pm
Kim Pan Gon sahkan Harimau Malaya akan menentang Nepal pada aksi persahabatan sebelum bertemu Oman
Kim Pan Gon sahkan Harimau Malaya akan menentang Nepal pada aksi persahabatan sebelum bertemu Oman

Harimau Malaya 'panas badan' lawan Nepal

KUALA LUMPUR: Pasukan kebangsaan Nepal menjadi medan pemanas badan buat Harimau Malaya sebelum menentang Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelaskan aksi berdepan Nepal akan berlangsung secara tutup di Lembah Klang pada 15 Mac ini.

"Kami akan mengharungi satu aksi persahabatan pada 15 Mac menentang Nepal. Ia perlawanan tertutup sebelum kita terbang ke Oman dan menjadi salah satu perancangan pasukan," katanya.

Pan Gon berkata demikian kepada media sebelum sesi pertama kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Harimau Malaya dilihat sukar untuk mendapatkan aksi pemanas badan sebelum menentang Oman dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kali ini dibuka pada 18 hingga 26 Mac.

Malah, Harimau Malaya juga berdepan cabaran besar apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 hanya akan bermula pada Mei depan sekali gus menyaksikan sebahagian besar pemain negara tidak mendapat perlawanan kompetitif selepas kembali dari Piala Asia 2023, Januari lalu.

Skuad negara terlebih dahulu akan menentang Oman di Muscat pada 22 Mac sebelum melayan kunjungan pasukan di ranking 80 dunia itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, empat hari kemudian.

Harimau Malaya ketika ini memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi awal sebelum ini.

Berita Harian X