Jumaat, 8 March 2024 | 12:56pm
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (tengah) meraikan salah satu jaringannya ketika menentang FC Copenhagen pada aksi Liga Juara-Juata di Stadium Etihad, Manchester kelmarin. – Foto AFP
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (tengah) meraikan salah satu jaringannya ketika menentang FC Copenhagen pada aksi Liga Juara-Juata di Stadium Etihad, Manchester kelmarin. – Foto AFP

Haaland sindir dakwaan Alexander-Arnold

MANCHESTER, England: Erling Haaland membalas semula dakwaan Trent Alexander-Arnold memenangi trofi lebih bermakna buat Liverpool berbanding buat Manchester City apabila menyatakan kebanggaannya meraih treble musim lalu yang dianggapnya "agak bagus."

Liverpool dan City bertembung bagi aksi dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) malam Ahad ini.

City mengidam untuk muncul pasukan pertama dalam sejarah memenangi kejuaraan utama liga Inggeris empat kali berturut-turut manakala Liverpool berharap menghadiahkan pengurus Jurgen Klopp dengan kejuaraan sebelum beliau mengundur diri.

Klopp dan bos City, Pep Guardiola secara konsisten berentap merebut kejuaraan utama dalam tempoh sedekad lalu.

Pemain pertahanan Alexander-Arnold dalam satu interviu minggu ini menyatakan trofi Liverpool lebih bermakna disebabkan City mendapat dana kewangan yang besar daripada Abu Dhabi.

"Ia sukar. Kami berdepan satu jentera yang dibina untuk menang – itulah satu cara paling mudah untuk menggambarkan City dan organisasi mereka," kata Alexander-Arnold kepada majalah FourFourTwo.

"Mengimbau kembali era ini, sekalipun mereka memenangi lebih banyak gelaran daripada kami dan mungkin lebih berjaya, trofi kami lebih bermakna buat kami dan peminat kami kerana situasi di kedua-dua kelab, dari segi kewangan.

"Bagaimana kedua-dua kelab membina pasukan mereka dan cara kami melakukannya, mungkin lebih bermakna kepada peminat kami."

Haaland meledak 52 gol musim lalu untuk membantu City memenangi Liga Juara-Juara buat julung kali dan mereka juga memenangi EPL dan Piala FA untuk muncul kelab kedua Inggeris melakukan treble, selepas Manchester United pada musim 1998-99.

"Saya sudah berada di sini setahun dan menang treble dan ia satu perasaan yang agak bagus," kata Haaland kepada Sky Sports apabila ditanya mengenai komen Alexander-Arnold.

"Saya tidak fikir dia faham perasaan ini, jadi itulah yang saya rasakan musim lalu dan ia agak bagus." – AFP

Berita Harian X