Khamis, 7 March 2024 | 1:27pm
Pengurus Brighton, Roberto de Zerbi menjadi antara calon terhangat untuk menggantikan Erik ten Hag di Manchester United. – Foto premierleague.com
Pengurus Brighton, Roberto de Zerbi menjadi antara calon terhangat untuk menggantikan Erik ten Hag di Manchester United. – Foto premierleague.com

De Zerbi, Southgate calon ganti Ten Hag

LONDON: Roberto de Zerbi dan Gareth Southgate menjadi pilihan utama untuk menjadi pengurus Manchester United berikutnya di samping seorang lagi bos Liga Perdana Inggeris, sekiranya Erik ten Hag dipecat oleh kelab itu, menurut beberapa laporan.

Ten Hag ketika ini berada dalam musim keduanya sebagai bos United namun berdepan masa depan tidak menentu dengan revolusi INEOS diketuai bilionair Britain, Jim Ratcliffe menimbang sama ada untuk melantik seorang jurulatih baharu.

Pengendali dari Belanda itu mengharungi penampilan ke-100 memilukan di tepi padang Red Devils selepas mengalami kekalahan 3-1 di tangan jiran tetangga Manchester City pada hujung minggu dan kelab itu merangka senarai pendek pengganti, seperti dilaporkan oleh ESPN.

Kontrak semasanya berakhir pada musim panas 2025 tetapi ada cadangan beliau mungkin dipecat pada hujung musim semasa selepas Ratcliffe enggan memberi jaminan kedudukannya sebagai pengurus United.

Mail Sport baru-baru ini mendedahkan pemain pasukan utama di Old Trafford menjangkakan bos berusia 54 tahun itu akan pergi, selain ada rungutan mengenai regim latihannya yang terlalu keras.

Ratcliffe dan pasukan INEOS pantas untuk melakukan perubahan selepas berjaya menguasai operasi bola sepak di kelab juara EPL 13 kali itu dengan meraih 27.7 peratus pegangan saham kelab.

Omar Berrada dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu kelab itu selepas dipikat dari kelab musuh Manchester City dan mereka turut berunding mengenai pelepasan Dan Ashworth dari Newcastle dengan harapan untuk menjadikannya sebagai pengarah sukan.

Mereka turut mempertimbang untuk merubah pengurusan dan masa depan Ten Hag menjadi perhatian dengan penggantinya sudah difikirkan sekiranya mereka memutuskan untuk memecatnya.

Southgate antara nama terkenal yang disebut dengan peranan sebagai ketua jurulatih di salah satu kelab terbesar di dunia, dengan beliau kini menyediakan skuad England bagi Kejohanan Eropah di Jerman dan hanya mengurus satu kelab sebelum ini.

Kontrak semasanya mengendalikan pasukan kebangsaan berakhir pada Disember dan belum pasti sama ada Southgate bersetuju dengan tawaran Persatuan Bolasepak (FA) England untuk kekal hingga 2026.

De Zerbi dan pengurus Brentford, Thomas Frank dikatakan antara nama pilihan bagi INEOS dengan pengurus England berusia 53 tahun itu berada di belakang kedua-duanya. – AGENSI

Berita Harian X