Rabu, 6 March 2024 | 9:58pm
Ifedayo Olusegun antara pemain import dilepaskan Kedah musim ini. - BERNAMA
Ifedayo Olusegun antara pemain import dilepaskan Kedah musim ini. - BERNAMA

Ambil kesempatan 'jualan tutup kedai' Kedah

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang masih sedang mencari pemain import untuk melengkapkan kuota mereka mungkin boleh mengambil kesempatan di atas 'jualan tutup kedai' yang dilakukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Skuad 'Kenari' mengambil langkah drastik apabila melepaskan lapan pemain import mereka bagi musim 2023 yang berjaya membantu mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.

Selain Manuel Hidalgo yang diikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kemudiannya dipinjamkan ke Sri Pahang FC, pemain lain dilihat belum lagi diintai mana-mana pasukan tempatan.

Bagaimanapun, ejen berpengalaman yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah melihat banyak faktor akan menjadi pertimbangan pasukan lain meskipun bekas pemain import KDA FC memiliki pengalaman beraksi di sini.

Jelasnya, faktor gaji mungkin menjadi faktor utama memandangkan gaji pemain import sudah tentu agak tinggi berbanding pemain tempatan selain prestasi turut menjadi kayu pengukur bagi memastikan mereka mendapat pemain import berbaloi.

"KDA FC lepaskan mereka pun mungkin atas faktor gaji tetapi kalau ada pasukan berminat nak ambil, boleh ambil kerana gaji pun boleh dirunding.

"Tetapi saya lihat tidak semua pemain ini akan kekal di sini kerana mungkin pemain ini hanya sesuai dengan taktikal KDA FC tetapi tidak sesuai dengan perancangan pasukan lain.

"Kalau rasa sesuai, bolehlah mana-mana pasukan yang berminat tawarkan kontrak. Apapun, semuanya terpulang kepada bajet pasukan tetapi saya pun rasa tidak ada pasukan nak ambil pemain import KDA FC ini kerana kurang menyerlah," katanya.

Sebagai rekod, tujuh pemain import yang dilepaskan KDA FC antaranya Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede, Amirbek Juraboev dan Ebenezer Assifuah.

Dua lagi pemain adalah Alan Robertson dan Jonatan Balotelli dengan KDA FC mengakui sumbangan barisan pemain import mereka bukan sahaja di dalam padang tetapi juga dalam pembinaan semangat kumpulan dan kekal profesional menjalankan tanggungjawab.

Berita Harian X