Rabu, 6 March 2024 | 4:08pm
Pemain JDT, Arif Aiman antara sembilan pemain JDT yang terpilih ke kem latihan Jumaat ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pemain JDT, Arif Aiman antara sembilan pemain JDT yang terpilih ke kem latihan Jumaat ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

JDT 'murah hati' lepaskan pemain kebangsaan lebih awal

KUALA LUMPUR: Sekalipun hanya perlu melepaskan pemain pada 18 Mac namun Johor Darul Ta'zim (JDT) 'bermurah hati' untuk melepaskan pemain mereka menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan lebih awal iaitu pada 15 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menjelaskan skuad Harimau Selatan menggunakan budi bicara mereka dalam melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama sekali gus mengikuti praktis global berhubung panggilan untuk skuad kebangsaan.

"Kebanyakan skuad kebangsaan di seluruh dunia hanya memanggil pemain mereka semasa jendela perlawanan yang disediakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tetapi JDT bersetuju untuk menggunakan budi bicara kami dalam melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama.

"Sebagai contoh, jendela FIFA seterusnya adalah dari 18 Mac hingga 26 Mac. Malaysia dijadualkan bermain kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada 22 Mac.

"JDT akan melepaskan pemain kami seawal 15 Mac. Dalam peraturan bola sepak, kelab hanya perlu melepaskan pemain pada 18 Mac," kata Alistair menerusi satu kenyataan di laman rasmi JDT.

Dalam masa sama, JDT juga percaya barisan pemainnya yang menjadi tonggak skuad kebangsaan tidak akan berdepan masalah untuk memberikan persembahan terbaik bagi dua aksi penting berdepan Oman itu.

"Memandangkan sebahagian besar pemain utama skuad Malaysia adalah daripada JDT, kami percaya pemain JDT yang dipanggil ke pasukan kebangsaan akan dapat membina persefahaman dan kecergasan.

"..melalui latihan berintensiti tinggi dan kemudahan fasiliti bertaraf dunia kami di Pusat Latihan JDT," katanya.

Sebagai rekod, sembilan pemain JDT dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan iaitu Ahmad Syihan Hazmi, Matt Davies, La'Vere Corbin Ong, Endrick dos Santos dan Arif Aiman Hanapi.

Selain itu, Shahrul Saad, Syamer Kutty Abba, Junior Eldstal dan Romel Morales turut dipanggil jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

Berita Harian X