Selasa, 5 March 2024 | 12:48pm
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Faktor kecergasan hantui Pan Gon

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dijangka perlu melakukan banyak kerja untuk membentuk skuad mantap bagi mengharungi dua aksi menentang Oman pada 22 dan 26 Mac ini.

Ia susulan barisan pemain negara 'berehat' panjang selepas tugasan di Piala Asia baru-baru ini dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan bermula pada Mei ini.

Perkara itu menjadi cabaran besar buat Pan Gon dalam memastikan semua pemain berada pada tahap terbaik terutama dari aspek kecergasan bagi menghadapi Oman.

Tambahan pula, skuad negara juga akan berlatih dan mengharungi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu dalam bulan Ramadan.

Penganalisis bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menyifatkan kelebihan ketika ini lebih memihak Oman apabila pemain mereka mendapat 'match fitness' kerana liga di negara itu masih berjalan selepas kembali dari Piala Asia di Qatar.

Beliau yang juga bekas pengurus pasukan Selangor berkata, Oman turut menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan D berdasarkan ranking mereka di tangga ke-80 dunia.

"Barisan kejurulatihan Harimau Malaya banyak kerja perlu dibuat sebab pemain datang tanpa 'match fitness' yang sepatutnya dan mungkin beberapa hari latihan awal penuh dengan latihan kecergasan.

"Kalau Liga M sedang berjalan, pasukan boleh menumpukan kepada strategi, teknikal serta taktikal kerana pemain sudah ada match fitness. Itu sahaja yang merisaukan, yang lain semua rasanya tiada masalah.

"Kita harap pemain faham apabila berlatih nanti kena bagi fokus sepenuhnya dan tak boleh main-main. Kita juga tak boleh nak letak harapan tinggi seperti sebelum Piala Asia ramai menganggap skuad negara boleh kalahkan Jordan atau Bahrain.

"Apabila letak harapan tinggi dan ia tak boleh dicapai, mulalah maki hamun jurulatih dan pemain. Melihat kepada persiapan pasukan kebangsaan yang tak seberapa ketika ini, kita harap aksi pertama menentang Oman di Muscat nanti skuad mantap Harimau Malaya dapat dibentuk," katanya.

Harimau Malaya yang berada di ranking ke-132 dunia ketika ini memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0).

Selain itu, Zakaria turut menganggap Harimau Malaya memerlukan perlawanan ujian yang mana sekurang-kurangnya aksi pemanas badan sekiranya tidak mendapat perlawanan persahabatan antarabangsa kerana kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini hanya untuk aksi kelayakan.

Kalendar FIFA bulan ini bermula dari 18 hingga 26 Mac dan ia tampak sukar untuk skuad negara mengatur perlawanan persahabatan terbaik sebagai ujian sebelum menentang Oman.

Berita Harian X