Selasa, 5 March 2024 | 8:24am
Pemain Inter Milan, Kristjan Asllani meraikan gol pertama ketika menentang Genoa pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Inter Milan, Kristjan Asllani meraikan gol pertama ketika menentang Genoa pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Inter 15 mata di puncak Serie A

MILAN: Inter Milan melebarkan jurang mereka di puncak Serie A kepada 15 mata ketika gol babak pertama daripada Kristjan Asllani dan Alexis Sanchez membantu kemenangan 2-1 di laman sendiri ke atas Genoa awal pagi tadi.

Inter meraih kelebihan dalam perebutan kejuaraan dengan 72 mata selepas pasukan tangga kedua Juventus tumpas 2-1 kepada Napoli awal pagi semalam.

Pengendali Inter, Simone Inzaghi mempunyai alasan yang kuat untuk meraikan perlawanan ke-300 sebagai pengurus dalam Serie A, dengan pasukannya menang semua 12 perlawanan mereka setakat ini tahun ini serta menyamai jumlah mata keseluruhan yang mereka kumpul sepanjang musim lalu.

"Kami perlu meneruskan sebegini, cuba untuk bekerja dengan cara yang kami sudah lakukan," kata Inzaghi kepada Sky Sports Italia. "Pemain tahu apa objektif kami, masih ada 11 pusingan untuk ditamatkan dalam Serie A dan 33 mata untuk dikutip, jadi kami tidak boleh mencicirkan sebarang mata.

"Ia hasil kerja keras setiap orang, staf saya, pemain dan kelab yang cuba menyokong kami dalam setiap perkara kecil. Saya amat bertuah untuk mempunyai skuad yang bekerja sebegini...

Penyerang Inter Milan, Alexis Sanchez menewaskan penjaga gol Genoa, Josep Martinez menerusi sepakan penalti pada aksi Serie A di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Inter Milan, Alexis Sanchez menewaskan penjaga gol Genoa, Josep Martinez menerusi sepakan penalti pada aksi Serie A di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kami tidak boleh menoleh ke belakang mahupun bersenang-lenang, kami perlu memandang ke masa depan," katanya.

Genoa menyaingi lawan mereka sejak awal dan hampir membuka tirai jaringan pada pertengahan babak pertama menerusi tandukan Mateo Retegui tetapi penjaga gol Inter, Yann Sommer tidak mampu ditewaskan.

Namun Asllani memecah kebuntuan selepas setengah jam apabila menerima lorongan cantik Sanchez dan merembat masuk dari dalam kotak penalti.

Lapan minit kemudian Sanchez menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti selepas Morten Frendrup mengasari Nicolo Barella.

Genoa membalas satu gol sembilan minit selepas rehat apabila Johan Vasquez merembat voli bola yang cuba dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Inter, Stefan De Vrij. – REUTERS

Berita Harian X