Isnin, 4 March 2024 | 12:52pm
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon akan membawa pasukannya menentang Oman hujung bulan ini pada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon akan membawa pasukannya menentang Oman hujung bulan ini pada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Oman lebih bersedia hadapi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Oman boleh dianggap memiliki kelebihan berbanding Malaysia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.

Perkara itu berdasarkan ranking dan situasi semasa yang mana liga profesional Oman masih berlangsung ketika ini selepas skuad kebangsaan itu kembali dari tugasan Piala Asia di Qatar, baru-baru ini.

Justeru, pemain Oman dijangka tidak berdepan masalah daripada segi tahap kecergasan dengan sebahagian besar pemain skuad kebangsaan mereka beraksi dalam liga negara itu.

Keadaan itu berbeza dengan sebahagian besar barisan pemain Harimau Malaya selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25 hanya akan bermula pada Mei depan dengan ada pasukan yang baru memulakan latihan.

Ia mungkin meletakkan tahap kecergasan pemain dalam perlawanan atau 'match fitness' dalam kerisauan berikutan tiada aksi kompetitif selepas Piala Asia melainkan beberapa pemain yang beraksi bersama Sabah dalam Piala AFC dan Dion Cools yang bersaing di Liga Thailand.

Malah, status aksi pemanas badan buat Harimau Malaya juga masih menjadi tanda tanya dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum membuat pengumuman rasmi mengenai pasukan mana yang akan diuji anak buah Kim Pan Gon sebelum menentang Oman.

BH Sukan berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai status aksi pemanas badan itu daripada FAM, namun tidak mendapat jawapan.

Berbaki kurang tiga minggu sebelum aksi pertama menentang Oman di Muscat, aksi pemanas badan itu dilihat penting buat Harimau Malaya untuk menguji kekuatan pasukan.

Sebelum ini, bekas pengendali skuad kebangsaa, Wan Jamak Wan Hassan menerusi laporan BH Sukan menjelaskan lebih bagus sekiranya Harimau Malaya dapat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan yang memiliki corak permainan mirip Oman.

Berita Harian X