Isnin, 4 March 2024 | 8:44am
Penyerang Manchester City, Phil Foden meraikan salah satu jaringannya ketika menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester lewat malam tadi. – Foto premierleague.com
Penyerang Manchester City, Phil Foden meraikan salah satu jaringannya ketika menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester lewat malam tadi. – Foto premierleague.com

Foden pemain terbaik Liga Perdana - Guardiola

MANCHESTER, England: Phil Foden adalah pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dengan prestasi semasanya dan sudah menjadi legenda Manchester City, kata pengurus Pep Guardiola selepas dua golnya pada babak kedua mencetus kemenangan 3-1 ke atas Manchester United lewat malam tadi.

City jelas menguasai tetapi ketinggalan menerusi jaringan cantik Marcus Rashford pada minit kelapan sebelum penyerang Foden mencuri tumpuan pada babak kedua.

Pemain tempatan berusia 23 tahun itu merembat kencang menerusi kaki kiri ke penjuru gol pada minit ke-56 dan kemudian menewaskan Andre Onana dengan satu penyudah tepat selepas 80 minit.

Gol ke-18 Erling Haaland musim ini melengkapkan jaringan pada masa kecederaan – gol keenamnya sepanjang minggu lalu – namun tiada apa yang boleh merampas tumpuan terhadap Foden yang kini mengumpul 11 gol dalam liga musim ini sekali gus menyamai rekod peribadinya.

"Ia mengenai jumlah perlawanan yang diharunginya. Dia sudah lama mempunyai bakat tetapi kini dia lebih matang dan memahami perlawanan lebih mendalam, terutamanya ketika bertahan," kata Guardiola kepada BBC.

"Dia boleh bermain di tengah, kanan, mencetus momen dan memecah masuk, bermain di kiri, menjaringkan gol dari sebelah kiri. Apa yang boleh saya katakan? Dia pemain terbaik Liga Perdana ketika ini dengan jumlah sumbangan yang diberikannya. Luar biasa."

Penyerang Manchester City, Phil Foden (kanan) bersama pengurus Pep Guardiola selepas digantikan ketika menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Manchester City, Phil Foden (kanan) bersama pengurus Pep Guardiola selepas digantikan ketika menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Kualiti Foden dan tahap konsisten menjadikannya sukar untuk digugurkan dalam skuad yang dipenuhi dengan pemain bertaraf dunia. Prestasi semasanya juga menjadikannya tunjang utama dalam skuad England kendalian Gareth Southgate.

"Kami tidak berkompromi mengenai perkara itu," kata Guardiola apabila ditanya mengenai disiplin Foden ketika bertahan.

"Pemain yang tidak melakukannya tidak kekal dalam pasukan. Dia sayangkan bola sepak, dia hidup demi bola sepak. Dia seorang yang menyeronokkan dan etika kerjanya amat mengagumkan."

Guardiola tidak kurang hebatnya memuji Foden ketika bercakap kepada Sky Sports.

"Dia sudah pun menjadi pemain legenda kerana dalam usia yang singkat, permainan yang dimainkan, minit, gol yang dijaringkan, gelaran yang dimenangi dan dia pemain tempatan dan itulah sebabnya hubungan dengan peminat amat menakjubkan," kata Guardiola.

"Dia adalah pemain terbaik musim ini. Tiada siapa yang lebih banyak menentukan keputusan perlawanan buat kami berbandingnya musim ini." – REUTERS

Berita Harian X