Ahad, 3 March 2024 | 6:22pm
Nidzam sebelum ini ialah penolong kepada Tan Cheng Hoe di Selangor FC. - Foto ihsan Selangor FC
Nidzam sebelum ini ialah penolong kepada Tan Cheng Hoe di Selangor FC. - Foto ihsan Selangor FC

Nidzam sesuai terus kemudi Selangor FC

KUALA LUMPUR: Ketika beberapa nama jurulatih luar negara dicanang untuk membimbing Selangor, namun ada cadangan supaya kelab itu melantik Nidzam Jamil sebagai pengendali baharu Gergasi Merah.

Cadangan berkenaan disuarakan bekas pemain Selangor, Azlan Johar yang menyifatkan Nidzam memiliki keupayaan untuk memacu Selangor berdasarkan pengalamannya bersama skuad itu.

Nidzam yang sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih Gergasi Merah kini diberikan tugas selaku jurulatih sementara skuad itu susulan peletakan jawatan Tan Cheng Hoe.

"Saya berasa ramai jurulatih yang bagus, mereka hanya tak ada peluang. Contohnya Nidzam, sudah beberapa musim dia jadi penolong jurulatih Selangor dan saya fikir wajar kita bagi peluang kepada dia.

"Dia ada kelayakan dan saya juga pernah satu kursus dengan dia, saya lihat dia memang berwibawa dan dia juga kenal pemain Selangor. Dia tahu apa yang harus pertajamkan lagi seperti apa yang Cheng Hoe pernah buat.

"Jadi, bagi peluang kepada Nidzam. Untuk cari jurulatih bukan senang, Nidzam sudah ada, bagi sajalah dekat Nidzam dan saya sangat sokong kalau mereka (kelab) bagi pada dia," kata Azlan kepada BH Sukan.

Sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih Selangor, Nidzam pernah memikul tugas selaku ketua jurulatih FELDA United pada 2019 hingga 2020.

Terdahulu, bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berpandangan khidmat jurulatih import perlu ditagih Gergasi Merah sekiranya mereka mahu menjadi pencabar utama dalam kancah domestik dan juga pertandingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Semalam, BH Sukan melaporkan pengganti Cheng Hoe menjadi tumpuan dengan beberapa nama jurulatih terutama dari luar negara seperti Park Hang Seo, Petar Segrt, Shin Tae Yong dan Alexandre Polking dicanang antara individu yang boleh diambil Selangor.

Selain itu, Azlan menyifatkan tindakan Cheng Hoe meninggalkan Selangor secara mengejut sebagai mencemaskan pasukan ketika Gergasi Merah sudah dalam rangka persiapan bagi menghadapi musim 2024/25.

Dia bagaimanapun percaya pengurusan Selangor tidak panik dan mampu bangkit dengan memilih individu yang tepat sebagai pengganti Cheng Hoe.

"Bola sepak Malaysia bukan untuk individu cari kejayaan sendiri atau kemewahan, ia adalah hak masyarakat untuk kita sama-sama menikmatinya dan meraih kejayaan untuk rakyat merasa gembira.

"Sebagai jurulatih saya hairan kerana Selangor sudah dibawa oleh Cheng Hoe ke satu tahap yang baik setakat ini, sudah berjaya ke ACL2, kenapa dia yang bawa selangor ke situ tiba-tiba dia tiada," katanya.

Berita Harian X