Sabtu, 2 March 2024 | 11:23am
Bekas rakan sepasukan Zinedine Zidane (kiri) di Real Madrid, Thomas Gravesen (kanan) mengimbau kembali perbincangannya dengan pemain Perancis itu dua tahun lalu. - Foto AGENSI
Bekas rakan sepasukan Zinedine Zidane (kiri) di Real Madrid, Thomas Gravesen (kanan) mengimbau kembali perbincangannya dengan pemain Perancis itu dua tahun lalu. - Foto AGENSI

Zidane cuma minat bimbing tiga pasukan

LONDON: Zinedine Zidane hanya berminat mengendali tiga pasukan bola sepak - kata bekas rakan sepasukan legenda Perancis itu.

Zidane, 51, tidak membimbing mana-mana kelab sejak meninggalkan Real Madrid pada tahun 2021, tetapi terus menjadi buruan kelab-kelab Eropah, termasuk Manchester United.

Pemilik baharu, Jim Ratcliffe dilaporkan berminat membawa bekas pemain Perancis itu ke Old Trafford bagi menggantikan Erik ten Hag.

Bagaimanapun impian itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan selepas bekas rakan sepasukan Zidane di Real Madrid mendedahkan tiga pasukan yang berada dalam senarainya.

Bekas bintang Denmark, Thomas Gravesen mengimbau kembali perbincangannya dengan Zidane dua tahun lalu.

"Saya bercakap dengan Zidane di Madrid dua tahun lalu dan dia memberitahu saya hanya tiga peranan yang akan diterimanya.

"Ia adalah (pengendali) Marseille, Madrid dan pasukan kebangsaan Perancis. Kami di Madrid dua tahun lalu dan itulah yang dia beritahu saya.

"Di Madrid, dia mempunyai pasukan yang hebat dan sudah bersedia dari awal. Situasi United berbeza, sukar untuk melakukan sesuatu dengan skuad yang Ten Hag ada sekarang," kata Gravesen.

Madrid satu-satunya pasukan pernah dikendali Zidane sejak dia bersara daripada bermain bola sepak pada tahun 2006. - AGENSI

Berita Harian X