Jumaat, 1 March 2024 | 2:57pm
Bekas jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoey. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Bekas jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoey. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

'The Red Giants' perlu jurulatih import

KUALA LUMPUR: Pemilihan jurulatih baharu untuk menggantikan kekosongan ditinggalkan Tan Cheng Hoe perlu dibuat selari dengan bajet, keperluan dan sasaran yang diletakkan Selangor FC (SFC) bagi musim 2024/25.

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berpandangan khidmat jurulatih import perlu ditagih 'The Red Giants' sekiranya mereka mahu menjadi pencabar utama dalam kancah domestik dan juga dalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Jelasnya, pelaburan perlu dibuat jika SFC memilih untuk menggunakan khidmat jurulatih import yang pasti dapat memberi dimensi berbeza kepada pendekatan yang diterapkan buat SFC nanti.

"Jurulatih import ini tiada rasa sentimental dengan pemain dan pengalaman mereka pun pasti banyak di luar sebelum mendapat tawaran di sini. Pendedahan mereka pun meluas jika hendak dibandingkan dengan jurulatih tempatan yang tidak banyak berkelana ke luar negara.

"Kalau betul SFC nak jadi pencabar saingan domestik dan di ACL2, mungkin mereka boleh berikan tanggungjawab kepada jurulatih import. Cuma mereka perlu berhati-hati bagi memastikan dapat jurulatih import yang dapat merencanakan perancangan dengan baik.

"Dulu SFC ada ambil jurulatih import tetapi tak berjaya, mungkin sebab perancangannya tidak sesuai lalu tidak menjadi. Mungkin kali ini SFC bertuah mendapat jurulatih import yang dapat membantu SFC pergi lebih jauh," kata Zakaria.

Bagaimanapun, Zakaria turut melihat SFC boleh meletakkan kepercayaan kepada jurulatih tempatan memandangkan mereka boleh dianggap sebagai pasukan yang sudah 'siap'.

"Jurulatih baharu belum datang tetapi pasukan sudah siap, jadi boleh juga kalau SFC gunakan jurulatih tempatan sehingga habis musim. Kalau pasukan sudah siap dan ambil jurulatih import kemudian gagal, mereka akan dipecat di pertengahan musim.

"Gaji dan kemudahan jurulatih import ini lebih tinggi jadi pampasan pun tinggi. Kalau jurulatih tempatan, mungkin mereka boleh diberi tugas lain dalam kelab sementara menunggu kontrak tamat.

"Kita tengok ada beberapa nama dicadangkan di media sosial seperti Park Hang Seo dan Peter Segrt tetapi kalau mereka datang dan tengok pasukan sudah siap, saya rasa mereka pun tidak akan terima tawaran kecuali diberikan gaji lumayan," katanya.

Terdahulu, SFC akan memulakan musim 2024/25 tanpa sentuhan Tan Cheng Hoe selepas pengendali itu mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya secara serta-merta.

SFC dalam satu kenyataan menjelaskan pasukan sudah dimaklumkan mengenai keputusan Cheng Hoe untuk meninggalkan skuad pasukan bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.

Namun SFC tidak melepaskan Cheng Hoe dengan 'tangan kosong' selepas turut mendapat pampasan berdasarkan kontrak Cheng Hoe dengan Nidzam Jamil dilantik sebagai ketua jurulatih sementara pasukan itu.

Berita Harian X