Jumaat, 1 March 2024 | 9:10am
Penyerang Liverpool, Luis Diaz mungkin akan meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini. - Foto AFP
Penyerang Liverpool, Luis Diaz mungkin akan meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini. - Foto AFP

Liverpool mungkin terpaksa lepaskan Diaz

LIVERPOOL: Luis Diaz antara nama besar yang akan meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini - sekiranya mereka berjaya memujuk Mohamed Salah melanjutkan kontrak di Anfield.

Beberapa buah kelab Sepanyol berminat mendapatkan penyerang The Reds, Diaz ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu mempunyai limpahan pemain di bahagian berkenaan.

Pengganti Jurgen Klopp untuk musim depan perlu memastikan Salah, Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk menandatangani kontrak baharu.

Namun hasil rundingan dengan Salah pasti akan memberi kesan terhadap masa depan pemain 27 tahun dari Colombia, Diaz.

Dia bergelut di awal musim ini - sebelum keluarganya diculik - tetapi Diaz mula menunjukkan kemampuan sebenarnya sejak berpindah dari Porto pada Januari 2022.

Thiago Alcantara dan Joel Matip bakal meninggalkan Anfield sebaik kontrak mereka tamat pada musim panas ini.

Salah, Alexander-Arnold dan Van Dijk hanya mempunyai semusim penuh lagi dalam kontrak masing-masing.

Kelab-kelab Liga Pro Saudi dan Paris Saint-Germain mahukan Salah manakala kapten Van Dijk pula menyatakan dia belum pasti berkenaan masa depannya di Anfield selepas ketiadaan Klopp.

The Reds sedar rundingan dengan bintang-bintang mereka hanya akan berhasil selepas pengarah sukan baharu dan pengganti Klopp mengambil alih pasukan.

Pengarah sukan, yang akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lalu, bakal mendedahkan identiti pengendali baharu pasukan.

Bos Bayer Leverkusen, Xabi Alonso - juga bekas wira Liverpool - antara calon utama menggantikan Klopp.

Selain daripada itu, pengendali Jerman, Julian Nagelsmann, Roberto De Zerbi (Brighton) dan Ruben Amorim dari Sporting Lisbon juga disenarai pendek oleh Liverpool. - AGENSI

Berita Harian X