Khamis, 29 Februari 2024 | 4:36pm
Pemain TFC menjalani latihan di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner. – Foto NSTP/Ghazali Kori
Pemain TFC menjalani latihan di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner. – Foto NSTP/Ghazali Kori

Steinbruckner tidak pilih kasih

KUALA TERENGGANU: Tomislav Steinbruckner mencabar pemain Terengganu FC (TFC) supaya meningkatkan prestasi mereka sebelum Liga Super bermula pada 10 Mei depan.

Ketua jurulatih dari Croatia itu berkata, tiada istilah pilih kasih dalam kesebelasan utama pasukannya biarpun pemain berkenaan bertaraf import ataupun kebangsaan.

Justeru dengan berbaki kira-kira tiga bulan lagi sebelum Liga Super bermula, masih ada masa buat mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Persediaan akan berterusan hingga bulan Ramadan dan kita akan lihat seterusnya, saya akan pastikan pemain benar-benar berada dalam keadaan cergas dan tiada kecederaan kerana musim baharu ini panjang.

"Sekarang dalam pasukan ada beberapa pemain baharu, cabaran sudah pasti besar ditambah pula pemain yang hadir itu berkualiti.

"Namun saya ingatkan semua pemain agar dapat meningkatkan prestasi masing-masing, saya tegaskan tiada tempat buat pemain yang gagal menunjukkan prestasi terbaik biarpun mereka bertaraf import ataupun kebangsaan.

"Bagaimanapun saya percaya tiga pemain tempatan dan dua import baharu serta pemain sedia ada dalam kalangan pemain yang berkualiti dan mampu memberi impak positif serta nafas baharu buat pasukan," jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu.

Berita Harian X