Khamis, 29 Februari 2024 | 3:04pm
Pemain KDA FC ketika aksi Liga Super musim lalu. - Foto ihsan KDA FC
Pemain KDA FC ketika aksi Liga Super musim lalu. - Foto ihsan KDA FC

KDA FC peroleh dana, selesai isu tunggakan gaji

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) boleh menarik nafas lega apabila bakal keluar dari kemelut gaji musim lalu apabila memaklumkan sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana bagi tujuan penyelesaikan tunggakan.

Menerusi hebahan rasmi dimuatnaik Sang Kenari, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC mengambil tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam menangani isu berbangkit terutamanya aspek kelestarian kewangan dengan ketelusan dan rasa tanggungjawab.

"Dalam perkembangan terkini untuk penyelesaian tunggakan gaji, pengurusan KDA FC diketuai Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.

"Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April.

"Pihak pengurusan KDA FC telah menerima makluman dari Pelesenan Kelab (Malaysia Football League) MFL First Instance Body (FIB) bahawasanya KDA FC diberikan tempoh sehingga 5 Mac 2024 sebagai tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi tahun kewangan 2023 iaitu sebelum Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) MFL pada 6 Mac 2024.

"Rentetan dari kekangan untuk memenuhi keperluan sebelum tarikh akhir penyelesaian yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB), KDA FC sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai semua pasukan KDA FC yang bertanding dalam Liga Malaysia, serta staf pentadbiran kelab," katanya.

Turut dimaklumkan, meskipun kelab bergelut dengan isu kewangan musim lalu, pihak pengurusan KDA FC tetap fokus dalam melakukan segala persiapan pasukan KDA FC untuk musim 2024-2025.

"Proses persiapan kini sudah mencapai tahap 85 peratus namun segala langkah yang diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023. Justeru, pengumuman berkenaan pasukan serta penajaan hanya akan dilakukan selepas isu utama diselesaikan.

"Lembaga Pengarah berasa amat terharu dengan komitmen yang telah diberikan oleh semua individu yang terlibat dengan isu kewangan ini kerana terus komited, masih setia bersama KDA FC.

"Pasukan Liga Super KDA FC juga merancang untuk memulakan latihan bagi pramusim 2024-2025 pada minggu hadapan," katanya.

Berita Harian X