Khamis, 29 Februari 2024 | 9:05am
Kapten Manchester United, Bruno Fernandes (tengah) menjadi mangsa kekasaran pemain-pemain Nottingham Forest ketika aksi pusingan kelima Piala FA di City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS
Kapten Manchester United, Bruno Fernandes (tengah) menjadi mangsa kekasaran pemain-pemain Nottingham Forest ketika aksi pusingan kelima Piala FA di City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS

Ten Hag berang Fernandes jadi sasaran

NOTTINGHAM: Erik ten Hag mendakwa Nottingham Forest sengaja menjadikan Bruno Fernandes sebagai sasaran dalam kemenangan Manchester United pada pusingan kelima Piala FA.

Fernandes tetap diturunkan dalam kemenangan 1-0 di City Ground itu walaupun 'cedera' ketika kekalahan kepada Fulham hujung minggu lalu.

Bintang Portugal itu mengambil sepakan percuma yang ditanduk masuk Casemiro untuk gol kemenangan pada minit ke-89 bagi menempah pertemuan dengan Liverpool di suku akhir.

Fernandes menjadi mangsa kekasaran pemain-pemain Forest sepanjang permainan, hanya beberapa hari selepas kapten United itu menjadi bahan jenaka susulan kecederaannya ketika menentang Fulham.

Akaun TikTok rasmi Fulham mengejek Fernandes kerana berpura-pura cedera pada Sabtu lalu.

Namun Ten Hag menegaskan, Fernandes mampu menahan kesakitan untuk bermain walaupun dikasari seperti dilakukan Forest ke atasnya.

"Saya tidak mahu menyentuh soal itu kerana anda lihat sendiri Forest mensasarkannya, jadi saya tidak perlu katakan apa yang dia alami, tetapi ia adalah kecederaan serius.

"Banyak kekasaran dilakukan ke atasnya. Setiap kali dia mendapat bola, mereka mensasarkannya. Kemudian media mengkritiknya dan dia dikecam di media sosial. Ia tidak sepatutnya berlaku.

"Dia mengalami kecederaan serius tetapi tetap bermain pada Sabtu dan hari ini dia berusaha menjadi sebahagian daripada permainan.

"Tahun lalu dia melakukan perkara sama menentang Spurs dan ia membuktikan kepimpinannya sebagai ketua," kata Ten Hag. - AFP

Berita Harian X