Rabu, 28 Februari 2024 | 10:10pm
Setiausaha Agung Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John sahkan FAM perlu calonkan gol Faisal ke anugerah Puskas.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John sahkan FAM perlu calonkan gol Faisal ke anugerah Puskas.

Anugerah Puskas: FAM perlu calonkan gol Mickey

KUALA LUMPUR: Peluang untuk jaringan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim 'terbang' ke Zurich bagi anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini terletak di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Meskipun sebelum ini Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyerahkan pencalonan gol kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu namun badan induk bola sepak Asia itu memaklumkan pencalonan perlu dibuat oleh FAM.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John kepada BH Sukan, hari ini yang turut menjelaskan jaringan itu masih tertakluk sama ada FIFA turut 'melihat' jaringan yang dinobatkan sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 itu.

"Oleh kerana Faisal mewakili Malaysia dalam perlawanan terbabit (di Piala Asia 2023) maka FAM boleh mencalonkan gol terbabit kepada FIFA.

"Pada masa yang sama AFC perlu menyemak sama ada FIFA memantau gol terbaik Piala Asia yang dipilih oleh peminat bola sepak Asia itu," kata Windsor.

Terdahulu, jaringan penyamaan Faisal ketika berdepan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E diangkat sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 selepas mendapat 85 peratus undian daripada penyokong di laman media sosial.

Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.

Sebagai rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022-23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo yang 'terduduk' sebelum meledak gol pertama Malaysia.

Berita Harian X