Rabu, 28 Februari 2024 | 9:37am
Erik ten Hag menandatangani kontrak tiga musim sebagai pengurus Manchester United. – Foto REUTERS
Erik ten Hag menandatangani kontrak tiga musim sebagai pengurus Manchester United. – Foto REUTERS

Ten Hag yakin Ratcliffe, United percayakannya

LONDON: Erik ten Hag berkata beliau tidak mahukan undi percaya daripada Jim Ratcliffe ketika spekulasi memuncak mengenai masa depan pengurus Manchester United itu.

Ratcliffe mengendali operasi bola sepak United selepas memegang 25 peratus saham kelab itu baru-baru ini daripada pemilik keluarga Glazer.

Bilionair Britain itu menjalankan reviu intensif mengenai dua musim kendalian Ten Hag, dengan laporan menyatakan bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane menjadi calon untuk menggantikan warga Belanda itu di Old Trafford.

Selepas menjuarai Piala Liga Inggeris musim lalu untuk menamatkan kemarau trofi United selama enam tahun, bekas bos Ajax, Ten Hag bergelut untuk mengekalkan tanggapan positif awal itu.

Kekalahan 2-1 di tangan Fulham di laman sendiri Sabtu lalu satu lagi tamparan buat United untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi penamat empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Tekanan buat Ten Hag pasti meningkat sekiranya United tumpas kepada Nottingham Forest pada pusingan kelima Piala FA awal pagi esok, peluang terakhir mereka untuk menjulang trofi musim ini.

Namun Ten Hag menegaskan beliau tidak berminat dengan sebarang sokongan daripada Ratcliffe.

"Saya di sini, saya mempunyai kontrak selama tiga musim, jadi saya tidak kisah. Saya hanya fokus dengan proses jadi saya tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekitar saya," katanya kepada wartawan lewat malam tadi.

"Saya sudah banyak kali berbincang dengan Jim Ratcliffe terutamanya bersama Dave Brailsford jadi saya tahu apa yang kami percakapkan. Saya mempunyai keyakinan tinggi dan optimis mereka percayakan saya.

"Saya hanya fokus terhadap pasukan dan saya perlu mencari jalan penyelesaian buat pasukan ini supaya mereka bermain sebaik mungkin. Ia semuanya mengenai fokus dan tidak terjejas dengan sebarang gangguan.

"Kami bercakap mengenai masa depan, kami bercakap mengenai satu masa depan bersama." – AFP

Berita Harian X