Selasa, 27 Februari 2024 | 12:56pm
Skuad Harimau Malaya dijadual akan menentang Oman bulan depan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Skuad Harimau Malaya dijadual akan menentang Oman bulan depan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sabar, Pan Gon sedang muktamadkan perancangan

KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak tanah air perlu bersabar menanti senarai pemain dan perancangan pasukan Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, bulan depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon ketika ini dalam proses memuktamadkan senarai pemain yang akan dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat.

Beliau berkata, pengendali dari Korea Selatan itu juga turut akan membuat perancangan mengenai persiapan pasukan termasuk aksi pemanas badan.

"Pasukan senior nanti kita akan keluarkan senarai pemain, saya fikir Pan Gon sedang buat senarai akhir dan persiapan kita untuk menentang Oman. Ia sedang peringkat terakhir, nanti tunggu pengumuman.

"Isu kita sekarang liga belum bermula dan akan mula pada Mei, jadi ada kekangan untuk panggilan skuad kebangsaan kerana ada pasukan yang masih bercuti dan ada baru memulakan latihan.

"Sebab itu Pan Gon sedang melihat dan saya berasa dia dengan barisan kejurulatihan sudah menghubungi semua kelab untuk senarai akhir (pemain) sebelum membuat keputusan mungkin minggu ini atau minggu depan," katanya.

Sebelum ini, Hamidin memaklumkan FAM akan berusaha untuk mendapatkan dua atau tiga aksi persahabatan buat Harimau Malaya sebelum menentang Oman dengan antara pilihan termasuk skuad itu akan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam laporan BH Sukan, semalam, bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan adalah lebih bagus sekiranya Harimau Malaya dapat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan yang mempunyai corak permainan seriras Oman.

Berita Harian X