Selasa, 27 Februari 2024 | 7:12am
Penyerang Coventry City, Ellis Simms (tengah) meraikan jaringan ketiga dan hatriknya ketika membenam Maidstone 5-0 pada pusingan kelima Piala FA Inggeris di Arena Coventry Building Society, Coventry awal pagi tadi. – Foto AFP

Coventry tamatkan kisah dongeng Maidstone

COVENTRY, England: Ellis Simms mengakhiri kisah dongeng Maidstone dalam Piala FA Inggeris dengan hatrik yang mencetus kemenangan 5-0 Coventry ke atas kelab pemusnah gergasi dari liga amatur itu pada pusingan kelima awal pagi tadi.

Simms meledak tiga kali pada babak pertama sebelum Fabio Tavares menyumbat dua gol lewat untuk membantu kelab divisyen dua Coventry layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 2009.

Maidstone, yang beraksi dalam divisyen enam Liga Nasional Selatan, mencipta banyak kejutan dalam laluan mereka ke pusingan 16 terakhir.

Mereka melepasi tujuh perlawanan untuk muncul pasukan pertama di luar kelompok lima divisyen teratas layak ke pusingan kelima sejak Blyth Spartans pada 1978.

Anak buah George Elokobi mengejutkan kelab pencabar Liga Kejuaraan, Ipswich dengan kemenangan 2-1 di Portman Road pada pusingan keempat.

Pengurus Maidstone, George Elokobi (tiga dari kanan) dan pemainnya bertemu peminat selepas tumpas di tangan Coventry pada pusingan kelima Piala FA di Arena Coventry Building Society, Coventry awal pagi tadi. – Foto AFP

Namun Coventry, yang memenangi Piala FA pada 1987, tidak pernah berada dalam keadaan berbahaya seperti dialami Ipswich.

"Saya tetap berbangga dengan komuniti dan pemain saya. Mereka memberikan segala-galanya hari ini. Tahniah buat mereka," kata Elokobi.

"Magis Piala FA masih menyala. Apabila kami memulakan perjalanan Piala FA ini, kami sedar kami tidak akan memenanginya. Ia mengenai memperagakan bakat dan kemahiran kami. Kami sudah melakukannya.

"Ia memberikan kami detik dalam kehidupan yang boleh diingati bersama. Setiap orang yang ada kaitan dengan kelab ini bangga dengan kami."

Simms meletakkan kelab Liga Kejuaraan kendalian Mark Robins di depan selepas sembilan minit susulan hantaran Kasey Palmer sekali gus melenyapkan sorakan 5,000 penyokong Maidstone yang berkunjung dari Kent. – AFP

Berita Harian X