Isnin, 26 Februari 2024 | 12:26pm
Brendan (kanan) sudah berbincang bersama Sri Pahang FC tetapi masih belum memberi kata putus.
Brendan (kanan) sudah berbincang bersama Sri Pahang FC tetapi masih belum memberi kata putus.

Pahang masih menunggu jawapan Brendan

KUANTAN: Sri Pahang FC berharap Brendan Gan memilih skuad Tok Gajah sebagai destinasi baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Sumber pasukan berkata, setakat ini, bekas kapten Selangor itu masih belum memberikan keputusan sama ada akan bersama skuad Tok Gajah atau memilih pasukan lain.

"Memang ada perbincangan tetapi belum ada keputusan muktamad mengenainya walaupun kami berminat mendapatkan khidmatnya untuk memperkasakan jentera tengah.

"Kami masih menunggu jawapan Brendan dan mengharapkan Sri Pahang menjadi pilihannya," kata sumber itu.

Ketika ini, selain Sri Pahang, beberapa pasukan lain turut berminat mendapatkan pemain Harimau Malaya itu.

Sebaik Brendan yang juga bekas kapten Selangor FC mengumumkan tidak lagi bersama Red Giants, spekulasi lebih terarah kepada skuad kendalian Fandi Ahmad.

Pada 2 Februari lalu, Selangor FC mengumumkan perpisahan dengan Brendan yang juga kapten pasukan itu.

Brendan merekodkan 80 penampilan sepanjang empat musim bersama Selangor sejak 2020 dan 75 daripadanya dia diturunkan dalam kesebelasan utama kelab itu.

Setakat ini, Sri Pahang mengumumkan enam pemain baharu, termasuk seorang import iaitu Mykola Ahapov dari Ukraine.

Lima pemain tempatan baharu yang diumumkan ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif.

Berita Harian X