Isnin, 26 Februari 2024 | 7:54am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menjulang trofi Piala Liga selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 di Wembley. - Foto REUTERS
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menjulang trofi Piala Liga selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 di Wembley. - Foto REUTERS
Pemain Liverpool, Virgil van Dijk (dua dari kanan) menjaringkan gol kemenangan ketika final Piala Liga menentang Chelsea di Wembley. - Foto REUTERS
Pemain Liverpool, Virgil van Dijk (dua dari kanan) menjaringkan gol kemenangan ketika final Piala Liga menentang Chelsea di Wembley. - Foto REUTERS
Pemain-pemain muda Liverpool, Lewis Koumas, Jayden Danns dan Trey Nyoni bersama pingat Piala Liga. - Foto REUTERS
Pemain-pemain muda Liverpool, Lewis Koumas, Jayden Danns dan Trey Nyoni bersama pingat Piala Liga. - Foto REUTERS

Trofi paling istimewa dalam karier saya - Klopp

LONDON: Jurgen Klopp membuktikan tidak mustahil untuk memenangi kejuaraan dengan barisan pemain muda apabila Liverpool menewaskan Chelsea 1-0 pada final Piala Liga.

Klopp, yang berdepan krisis kecederaan dalam pasukan, terpaksa mengharapkan kumpulan pemain muda dari luar skuad utama untuk membantu Liverpool kali ini.

Ketika permainan menghampiri masa tambahan dengan Chelsea lebih menguasai permainan, Liverpool memerlukan suntikan tenaga tambahan bagi mendapatkan semula momentum.

Pengendali Liverpool itu membawa masuk pemain 19 tahun, James McConnell dan Bobby Clark, serta Jayden Danns, 18, sebelum memasukkan Jarrel Quansah yang berusia 21 tahun.

Keempat-empat pemain berkenaan cukup tenang di atas padang dan Liverpool memecah kebuntuan menerusi tandukan Virgil van Dijk pada minit ke-118.

Piala Liga mungkin tidak begitu penting dalam senarai kejuaraan domestik England tetapi Klopp, pemenang Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool dan dua gelaran Bundesliga bersama Borussia Dortmund berkata, kemenangan di Wembleu itu cukup istimewa.

"Saya diberitahu yang anda tidak akan memenangi trofi dengan budak-budak. Lupakannya. Sepanjang 20 tahun sebagai pengurus, ini adalah trofi paling istimewa pernah saya menangi.

"Saya sering ditanya jika saya berbangga untuk sesuatu, saya harap saya kerap merasainya, tetapi hari ini saya amat berbangga.

"Melihat wajah pemain-pemain muda ini selepas perlawanan, Jayden Danns, anda dapat menulis cerita dalam bola sepak yang tidak dapat dilupakan - pemain-pemain akademi tampil menentang pasukan yang kuat dan memenanginya, itu yang kami lakukan," kata Klopp.

Klopp sudah mempertaruhkan pemain 20 tahun, Conor Bradley dan Harvey Elliot dalam kesebelasan utama selepas kehilangan sebilangan besar tonggak penting.

Antaranya Diogo Jota, Trent Alexander-Arnold, penjaga gol Alisson dan Curtis Jones, penyerang Mohamed Salah dan Darwin Nunez serta pemain tengah Dominik Szoboszlai.

Ryan Gravenberch yang terpaksa dikeluarkan selepas buku lalinya cedera pada minit ke-28 memaksa Klopp merombak formasi dengan menghantar bek kanan, Bradley ke depan. - REUTERS

Berita Harian X