Ahad, 25 Februari 2024 | 12:29pm
Juan Torres Garrido (kanan) memikul dua tanggungjawab sebagai jurulatih Bawah 23 tahun dan Bawah 20 tahun kebangsaan. - BERNAMA
Juan Torres Garrido (kanan) memikul dua tanggungjawab sebagai jurulatih Bawah 23 tahun dan Bawah 20 tahun kebangsaan. - BERNAMA

Bukan beban buat Garrido laksana 2 tugas

KUALA LUMPUR: Tiada istilah menambah beban buat Juan Torres Garrido meskipun pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) itu kini memegang satu lagi 'portfolio' apabila turut mengendalikan skuad Bawah 20 tahun (B-20) negara.

Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar menganggap pengendali dari Sepanyol itu tidak akan berdepan sebarang masalah untuk menguruskan dua pasukan terbabit memandangkan kedua-dua pasukan memiliki garis masa pertandingan yang berbeza.

"Tiada masalah kerana kalau kita lihat, tugasan besar skuad B-23 adalah pada tahun ini (Piala Asia B-23) dan selepas itu barulah kejohanan B-20. Ia bukanlah pertandingan secara berturutan ataupun berlangsung serentak.

"Jadi dia (Garrido) boleh fokus pada skuad B-23 terlebih dahulu dan selepas itu boleh teruskan kerjanya untuk skuad B-20 pula," kata Shahril.

Dalam perkembangan sama, Shahril turut mengakui pemilihan Garrido untuk mengendalikan dua skuad remaja itu sebagai satu perkembangan positif sebagai kesinambungan bersama skuad senior kebangsaan.

"Saya nampak seperti itulah kerana Garrido juga bekerja rapat dengan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang diterajui Kim Pan Gon.

"Dia pun tahu corak permainan yang dimahukan, jadi saya lihat tiada masalah di situ," katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Garrido yang juga pengendali skuad B-23 sebagai pengendali skuad B-20 selepas ini sekali gus menyaksikan dia perlu bekerja 'lebih masa'.

Ini sekali gus memberikan Garrido tanggungjawab lebih besar memandangkan dia memegang 'kunci' ke atas kelompok pemain muda yang bakal menjadi pelapis untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Berita Harian X