Sabtu, 24 Februari 2024 | 8:49am
Mauricio Pochettino meminta peminat Chelsea untuk tidak menilainya berdasarkan kilauan trofi pada musim-musim awalnya di Stamford Bridge. - Foto AGENSI
Mauricio Pochettino meminta peminat Chelsea untuk tidak menilainya berdasarkan kilauan trofi pada musim-musim awalnya di Stamford Bridge. - Foto AGENSI

Permintaan Pochettino menjelang final Piala Liga

LONDON: Mauricio Pochettino meminta peminat Chelsea untuk tidak menilainya berdasarkan kilauan trofi pada musim-musim awalnya di Stamford Bridge.

Pochettino dikritik peminat yang berang dengan prestasi mengecewakan pasukan pada musim pertama di bawah pengendali dari Argentina itu.

Chelsea kini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris, 25 mata di belakang pendahulu, Liverpool yang akan bertemu mereka pada final Piala Liga di Wembley malam esok.

Pochettino berharap dapat menjelmakan trofi pertama buat Chelsea sejak pemilik bersama, Todd Boehly membeli kelab berkenaan daripada Roman Abramovich pada Mei 2022.

Dia turut memburu trofi pertamanya di England, paling hampir ialah ketika muncul naib juara Piala Liga pada tahun 2015 bersama Tottenham.

Bagaimanapun Pochettino yakin kilauan trofi sahaja tidak sepatutnya menjadi tanda aras kejayaannya di Chelsea, yang berbelanja besar membeli pemain-pemain di bawah era Boehly.

Merujuk kepada peningkatan Jurgen Klopp di Liverpool sebelum memenangi enam trofi major sepanjang sembilan tahun di Anfield, Pochettino berkata: "Klopp sudah bagus sebelum tiba di Liverpool.

"Dia mengharungi tiga atau empat tahun tanpa sebarang kejuaraan. Kini dia memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris.

"Saya tidak menilai jurulatih atau barisan kejurulatihan dengan gelaran. Ia tentang menjadi kompetitif dan menang, tetapi banyak faktor lain yang mempengaruhi.

"Jika anda mempunyai pemain yang bagus, anda akan hampir dengan kemenangan. Mungkin semua orang akan melabelkan anda jurulatih terbaik di dunia. Tetapi ia tidak begitu.

"Apa yang penting ialah berada di masa yang betul, kelab yang mempunyai keyakinan terhadap anda dan keupayaan untuk menang.

"Sesetengah peminat akan mengatakan anda tidak bagus kerana tidak menang. Bagi saya, itu bukan cara untuk menilai barisan jurulatih." - AFP

Berita Harian X