Jumaat, 23 Februari 2024 | 12:43pm
Pemain Arsenal, Declan Rice (tengah) mahu pasukannya menggunakan kekecewaan di pentas Eropah sebagai pencetus semangat untuk misi kejuaraan Liga Perdana Inggeris. - Foto AFP
Pemain Arsenal, Declan Rice (tengah) mahu pasukannya menggunakan kekecewaan di pentas Eropah sebagai pencetus semangat untuk misi kejuaraan Liga Perdana Inggeris. - Foto AFP
Manchester City boleh merapatkan jurang kepada satu mata di belakang Liverpool jika mereka menewaskan Bournemouth esok. - Foto AGENSI
Manchester City boleh merapatkan jurang kepada satu mata di belakang Liverpool jika mereka menewaskan Bournemouth esok. - Foto AGENSI

Peluang Man City, Arsenal buru Liverpool

LONDON: Dengan Liverpool akan beraksi pada final Piala Liga menentang Chelsea Ahad ini, pesaing-pesaing kejuaraan Liga Perdana Inggeris berpeluang merapatkan jurang dengan pendahulu itu.

Manchester City boleh merapatkan jurang kepada satu mata di belakang skuad kendalian Jurgen Klopp jika mereka menewaskan Bournemouth, manakala Arsenal perlu mengalahkan Newcastle untuk kekal menjadi pesaing kejuaraan.

Declan Rice menggesa Arsenal menggunakan kekecewaan tewas pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Porto untuk menyalakan semangat dalam misi Liga Perdana Inggeris.

The Gunners pulang tangan kosong dari Portugal selepas jaringan masa kecederaan Galeno memberikan kemenangan 1-0 buat Porto.

Aksi timbal balik hanya akan berlangsung pada 12 Mac di London, dan pemain tengah England, Rice sedar Arsenal tidak boleh terus meratapi kekalahan saingan Eropah itu.

Skuad kendalian Mikel Arteta akan hanya ketinggalan dua mata di belakang Liverpool jika mereka menewaskan Newcastle di Stadium Emirates esok, tetapi jika tewas, misi menamatkan kemarau kejuaraan sejak tahun 2004 akan terjejas.

"Kami pernah tewas atau seri tahun ini, dan saya dapat lihat suasana dalam bilik persalinan selepas itu, ia sangat teruk.

"Kami baru sahaja tewas (kepada Porto) tetapi masih ada yang positif dalam pasukan ketika ini. Kami memulakan tahun 2024 dengan baik, saya rasa jika kami akan mempelajari sesuatu daripada perlawanan ini," kata Rice yang pasukannya sudah memenangi lima perlawanan terakhir liga.

Manchester City tidak perlu bimbang dengan prestasi semasa Erling Haaland, menurut teman rapat dan rakan sepasukan penyerang Norway itu, Oscar Bobb.

Selepas menemui sasaran hanya dalam satu daripada tujuh perlawanan sebelum ini - dua gol menentang Everton - Haaland menutup mulut pengkritiknya dengan jaringan kemenangan ke atas Brentford pada Selasa.

Pemain 23 tahun itu memecah kebuntuan di babak kedua aksi di Stadium Etihad dengan gol ke-22nya dalam semua pertandingan musim ini.

Ia mengekalkan City di belakang Liverpool untuk terus menghidupkan peluang menjulang gelaran liga buat kali keempat berturut-turut.

"Apabila anda mempunyai kualiti sepertinya, apa yang perlu hanya berada di tempat yang betul. Selagi dia berada dalam situasi itu, walaupun gagal menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan, ia tidak akan kekal begitu," kata Bobb berkenaan Haaland. - AFP

Berita Harian X