Jumaat, 23 Februari 2024 | 10:32am
Penyerang Al-Ittihad, Karim Benzema menjaringkan gol sendiri ketika aksi Liga Juara-Juara Asia menentang Navbahor di Jeddah, Arab Saudi. - Foto AGENSI
Penyerang Al-Ittihad, Karim Benzema menjaringkan gol sendiri ketika aksi Liga Juara-Juara Asia menentang Navbahor di Jeddah, Arab Saudi. - Foto AGENSI

Benzema tebus kesilapan jaring gol sendiri

JEDDAH: Gol sendiri Toma Tabatadze di akhir permainan menyelamatkan Al-Ittihad yang turut dibolosi jaringan sendiri Karim Benzema ketika kemenangan 2-1 ke atas Navbahor dari Uzbekistan.

Kemenangan itu membolehkan Al-Ittihad mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia bertemu seteru mereka di Liga Pro Saudi, Al-Hilal.

Penyerang Perancis itu tertanduk bola sepakan percuma Jamshid Iskanderov ke gawang sendiri pada minit ke-25 untuk meletakkan pelawat di depan dalam aksi di Jeddah, selepas terikat tanpa jaringan pada aksi pertama minggu lalu.

Namun Benzema menebus kesilapannya sebelum rehat dengan menanduk bola sepakan sudut Ahmed Al-Ghamdi ke arah Abderrazaq Hamedallah untuk pemain Maghribi itu meledak gol penyamaan.

Ketika permainan hampir berlanjutan ke masa tambahan, Tabatadze gagal mengeluarkan sepakan sudut minit ke-87 Saleh Al-Amri, sebaliknya bola melencong ke gawangnya sendiri untuk memberikan Al-Ittihad kemenangan.

Al-Ittihad menyertai dua lagi kelab Arab Saudi dalam kelompok lapan terakhir selepas Al-Hilal turut mara hasil kemenangan 3-1 ke atas Sepahan di Riyadh semalam, dan 6-2 secara agregat.

Al-Ittihad dan Al-Hilal akan bertembung di suku akhir bulan depan manakala satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Nassr yang diperkuat Cristiano Ronaldo akan bertemu Al-Ain dari Emiriah Arab Bersatu.

Juara Korea Selatan, Ulsan Hyundai akan bertemu Jeonbuk Motors manakala Yokohama F Marinos akan menentang Shandong Taishan. - REUTERS

Berita Harian X