Khamis, 22 Februari 2024 | 7:03am
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) menanduk masuk gol pertama mengatasi penjaga gol Luton Town, Thomas Kaminski pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) menanduk masuk gol pertama mengatasi penjaga gol Luton Town, Thomas Kaminski pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Van Dijk, Gakpo cetus kebangkitan Liverpool

LIVERPOOL, England: Virgil van Dijk dan Cody Gakpo menyumbat gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua untuk membantu Liverpool yang dilanda kecederaan menjarakkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris selepas menang 4-1 ke atas Luton Town di Anfield awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp mengumpul 60 mata selepas 26 perlawanan, empat mata di depan Manchester City dan lima berbanding Arsenal, sekalipun kedua-dua pasukan pencabar terdekat itu beraksi kurang satu perlawanan. Luton Town kekal di tangga ke-18.

Pemain Luton, Chiedozie Ogbene mengejutkan peminat di Anfield dengan gol pada minit ke-12 dan Liverpool, yang kehilangan khidmat beberapa tonggak utama termasuk Mohamed Salah dan Darwin Nunez, ketinggalan pada babak pertama aksi liga di laman sendiri buat kali pertama musim ini.

Namun skuad tempang Liverpool tampil lebih bertenaga selepas rehat. Van Dijk meledak pada minit ke-56, mengatasi pemain pertahanan sebelum menanduk masuk sepakan sudut Alexis Mac Allister dan Gakpo menanduk masuk hantaran silang Mac Allister dua minit kemudian.

Luis Diaz dan Harvey Elliott kemudian menambah gol Liverpool pada minit ke-71 dan 90.

Pemain Liverpool, Cody Gakpo menanduk masuk gol kedua melepasi penjaga gol Luton Town, Thomas Kaminski pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Liverpool, Cody Gakpo menanduk masuk gol kedua melepasi penjaga gol Luton Town, Thomas Kaminski pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kami adalah pasukan berdaya tahan dan kami mahu berjuang untuk satu sama lain. Ia musim yang sibuk," kata Elliott kepada Sky Sports.

"Bagi pemain yang cedera, kami mendoakan kesihatan mereka dan kami mahu mereka kembali dengan cepat."

Tuan rumah melakukan 29 percubaan, 13 daripadanya tepat ke sasaran dan walaupun penjaga gol Luton, Thomas Kaminski menyelamatkan percubaan berbahaya Conor Bradley, Gakpo dan Van Dijk dalam tempoh beberapa minit, Van Dijk akhirnya berjaya memecah kebuntuan.

"Kami mungkin tidak begitu berkesan pada babak pertama," kata Elliott. "Tetapi bola sepak adalah permainan dua babak dan pada separuh masa kedua kami membuktikannya. Kami perlu lebih bagus berbanding babak pertama."

Liverpool dilanda kecederaan akhir-akhir ini – lebih teruk masanya semakin hampir dengan final Piala Liga Ahad ini selain perebutan kejuaraan yang semakin sengit.

Pemain Liverpool meraikan gol ketiga jaringan Luis Diaz (kiri) ketika menentang Luton Town pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain Liverpool meraikan gol ketiga jaringan Luis Diaz (kiri) ketika menentang Luton Town pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto AFP

Klopp berkata Salah, yang baru kembali daripada kecederaan hamstring, tidak cergas untuk beraksi awal pagi tadi manakaka Nunez, Diogo Jota dan Curtis Jones diketepikan susulan kecederaan dialami menentang Brentford hujung minggu lalu.

Pasukan pendahulu itu sudah kehilangan khidmat penjaga gol Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Dominik Szoboszlai dan Thiago Alcantara.

Pertarungan untuk mengelak penyingkiran turut sengit ketika Luton mengumpul mata sama banyak dengan pasukan tangga ke-17 Everton. – REUTERS

Berita Harian X