Selasa, 20 Februari 2024 | 11:44pm
Romel Morales ketika diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam video di laman sosial kelab. Foto JOHOR Southern Tigers
Romel Morales ketika diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam video di laman sosial kelab. Foto JOHOR Southern Tigers

Morales sah milik JDT

Kuala Lumpur: Spekulasi perpindahan penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales ke Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya terjawab.

Ia susulan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu memperkenalkan Morales sebagai pemain terbaharu mereka bagi menghadapi musim 2024/25.

Pengumuman itu dibuat Harimau Selatan menerusi satu video berdurasi 42 saat di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, sebentar tadi.

Morales yang berasal dari Colombia pernah mewakili beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) termasuk PKNS, Melaka United dan Kuala Lumpur (KL) City.

Bintang berusia 26 tahun itu membuat penampilan bersama skuad kebangsaan di pentas Piala Asia 2023 baru-baru ini dengan dia meledak gol penyamaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E.

Kehadiran pemain kelahiran Colombia itu bakal menambah sengat bahagian serangan JDT dengan dia bakal bergandingan bersama penyerang import Harimau Selatan seperti Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

Berita Harian X