Selasa, 20 Februari 2024 | 5:05pm
Fortes menjalani latihan bersama Selangor. - Foto ihsan Selangor FC
Fortes menjalani latihan bersama Selangor. - Foto ihsan Selangor FC

Fortes mahu julang Selangor

KUALA LUMPUR: Pemain import baharu Selangor, Alvin Fortes menaruh impian besar untuk membantu skuad Gergasi Merah mencapai sasaran bagi musim 2024/25.

Bekas pemain Nongbua FC dan Ratchaburi FC itu menjadi antara pemain import baharu yang mengikuti sesi latihan awal pasukan Selangor sebagai persiapan menghadapi musim ini.

Pemain sayap berusia 29 tahun itu mendedahkan bahawa dia semakin selesa dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam skuad Gergasi Merah.

"Rakan sepasukan yang lain menyambut kehadiran pemain baharu dengan baik. Ini sedikit sebanyak membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat.

"Saya juga akan sedaya upaya mendapatkan persefahaman bersama pemain serta barisan jurulatih untuk sama-sama membantu kelab mencapai sasaran musim ini," katanya di laman rasmi Selangor FC.

Selangor sebelum ini mengumumkan lima pemain baharu, mengekalkan 26 pemain musim lalu dan menaikkan pangkat empat pemain muda skuad bawah 23 (B-23) tahun bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Kem latihan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sudah bermula sejak 5 Februari lalu bagi membantu pemain mencapai tahap kecergasan yang baik sebelum mengharungi pramusim di luar negara.

Pemain baharu termasuk Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Azim Al Amin dan Nooa Laine sudah menjalani sesi latihan bersama pasukan beberapa hari lalu selepas mereka tiba di Malaysia.

Berita Harian X